Dividen KWSP dijangka hanya 5.5 peratus

Dividen KWSP dijangka hanya 5.5 peratus

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka tidak dapat memberikan agihan dividen yang tinggi bagi 2022 kerana prestasi pasaran tempatan dan global pada tahun lalu kebanyakannya menunjukkan pulangan kurang memberangsangkan sehingga memberikan impak kepada pelaburannya, demikian menurut penganalisis.

Ketua Ekonomi & Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata mengambil contoh prestasi pasaran saham global seperti indeks utama S&P 500, Nikkei 225, DAX dan CAC, semuanya merekodkan angka negatif iaitu masing-masing -19.4 peratus, -9.4 peratus, -12.3 peratus dan -9.5 peratus pada tahun lalu.

Beliau berkata, bagi pasaran tempatan pula, FBM KLCI menunjukkan penurunan sebanyak 4.6 peratus seiring dengan prestasi pasaran saham global.

Manakala, katanya kadar pulangan bon bagi perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) bagi tempoh 10 tahun melonjak sebanyak 236 mata asas untuk ditutup pada paras 3.87 peratus pada akhir 2022.

“Harga bon dan kadar faedah adalah berkadar songsang. Ini bermakna apabila kadar faedah dinaikkan, maka harga bon akan turun.

“Justeru, kedua-dua pasaran ini iaitu pasaran saham dan bon global mencatatkan penurunan yang mendadak disebabkan oleh peningkatan kadar faedah dikalangan bank pusat utama dunia.

“Berdasarkan fakta ini, adalah tidak realistik untuk menjangkakan kadar dividen KWSP yang tinggi memandangkan prestasi pasaran kewangan yang lemah akibat daripada lonjakan kadar faedah dunia bagi mengatasi kenaikan kadar inflasi yang disumbang oleh faktor permintaan dan kejutan dalam rantaian perniagaan,” katanya kepada BH.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, turut berpandangan sama dengan menyatakan pelaburan KWSP di pasaran ekuiti tempatan tidak memberikan pulangan yang luar biasa.

Beliau berkata, seiring dengan dividen Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan juga Tabung Haji (TH), pulangan dividen KWSP dijangka hanya berada pada lingkungan 5.0 hingga 5.5 peratus.

“Pasaran modal global juga masih lagi menerima tekanan kenaikan kadar faedah oleh Fed AS yang masih belum menoktahkan lagi kenaikan kadar faedah diatas alasan kadar inflasi yang belum dapat dikawal sepenuhnya.

“Ia jelas memberikan kesan kepada pasaran saham Malaysia seiring dengan bursa saham di negara lain termasuk di AS sendiri.

“Malah, penurunan nilai mata wang ringgit tahun lalu hingga melepasi RM4.70 dengan nilai purata yang lebih rendah daripada 2021 turut memberi impak,” katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, penurunan aset terkumpul KWSP di bawah RM1 trilion turut memberikan kesan kepada pulangan dividen.

Beliau berkata, kekurangan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) turut menyebabkan KWSP kehilangan peluang pelaburan yang lebih baik.

Katanya, ia sekali gus mengurangkan kuasa dengan pengurus dana professional global untuk memberikan pulangan yang lebih tinggi kepada KWSP.

“Sektor hartanah pula walaupun antara segmen pelaburan penting KWSP, tetapi ia tidaklbegitu memberangsangkan dari segi pulangan kerana pemulihan sektor ini berlaku dengan perlahan berikutan kos faedah pinjaman yang tinggi,” katanya. BH

Dividen KWSP dijangka hanya 5.5 peratus

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Syamsul, lepaskan saya – Puteri Sarah

Mentega Terbang, Jakim diarah ambil tindakan – Menteri

Cubaan sabotaj kerajaan, Hadi Awang dikecam

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker