39 banduan Penjara Reman P. Pinang positif COVID-19 selepas ujian saringan ketiga

Share

GEORGE TOWN, 24 Okt — Seramai 39 banduan di Penjara Reman Pulau Pinang disahkan positif COVID-19 semalam selepas menjalani ujian saringan ketiga berikutan mengalami gejala.

Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang Mohamed Jusoh Ismail berkata dua ujian saringan COVID-19 yang dijalankan ke atas mereka sebelum ini menunjukkan keputusan negatif.

“Namun, mereka mula menunjukkan gejala dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan ujian saringan COVID-19 kali ketiga sebelum mendapati 39 banduan tersebut positif COVID-19.

“Mereka kini ditempatkan di wad rawatan risiko rendah yang terdapat di dalam penjara dan dilaporkan dalam keadaan stabil manakala lebih 200 banduan kini ditempatkan di zon hijau kerana menunjukkan perkembangan untuk sembuh,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Pengarah Penjara Seberang Perai Zulkifli Abdul Manah berkata petugas KKM ketika ini sedang menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas banduan yang masuk ke penjara itu bagi tempoh enam bulan dan ke atas bagi memastikan tiada penularan wabak itu dalam kalangan mereka.

Ketika ini, di Pulau Pinang terdapat dua kluster iaitu Kluster Penjara Reman dan Kluster Penjara Jawi, dengan semua kes membabitkan banduan yang ditempatkan di dua penjara itu yang kini berada di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sehingga semalam, Kluster Penjara Reman merekodkan 446 kes positif COVID-19 manakala Kluster Penjara Seberang Perai pula mencatatkan 95 kes.

— BERNAMA

Status Anwar banduan atau tidak?

Leave a Reply