Ringgit merosot, dolar US terus mengukuh

Share

Ringgit terus merosot berbanding dolar US hari ini berikutan ketidakpastian mengenai persetujuan pakej rangsangan Amerika Syarikat dan landskap politik tanah air yang menyumbang kepada langkah mengelak risiko.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.1500/1600 berbanding mata wang negara maju itu daripada 4.1440/1480 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar US memperoleh kekuatan berikutan pelabur terus memantau perkembangan perjanjian pakej bantuan COVID-19.

Selain itu, beliau berkata landskap politik dalam negara juga mengalami ‘pelbagai isu menarik.’

Perdana Menteri Tan Sri Muhyidddin Yassin hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan.

Muhyiddin terdahulu mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya dipercayai bagi membincangkan isu-isu semasa, manakala spekulasi turut wujud berkenaan pelaksanaan darurat untuk memerangi impak COVID-19 terhadap ekonomi.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata dolar dijangka mengukuh berbanding ringgit sehinggalah isu ini dapat dijelaskan.

“Saya berpandangan, penjualan ringgit secara besar-besaran akan dapat dihadkan berikutan kerajaan tahu bagaimana untuk menangani situasi ini dengan segera,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain ketika ditutup hari ini.
Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0593/0678 daripada 3.0531/0567 ketika ditutup pada Khamis dan susut berbanding pound Britain kepada 5.4286/4434 daripada 5.4274/4331.

Unit tempatan turut menyusut berbanding yen kepada 3.9664/9771 daripada 3.9565/9610 semalam dan jatuh berbanding euro kepada 4.9153/9288 daripada 4.9028/9092. BERNAMA

Leave a Reply