Perdana Menteri menghadap Agong di Kuantan

KUANTAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Abdul Aziz di sini, bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perdana Menteri bergegas ke Kuantan selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Jabatan Perdana Menteri pagi tadi, tiba di pintu masuk istana pada jam 4.40 petang ini.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, adalah di antara yang dilihat berada dalam konvoi mengekori Perdana Menteri ketika memasuki istana.

Sejak jam 3 petang tadi, kumpulan media dan anggota polis mula berkumpul di pintu masuk utama Istana Abdul Aziz di sini.



Setakat ini, Pejabat Perdana Menteri dan Istana Negara, belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pertemuan yang berlangsung itu, walaupun pelbagai spekulasi mula kedengaran sejak semalam.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah menitahkan semua ahli politik supaya mengutamakan kepentingan rakyat yang sedang berdepan pelbagai kesulitan akibat penularan pandemik COVID-19.

Titah baginda, ahli politik perlu bermuhasabah agar negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik tidak menentu ketika semua masih berdepan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat COVID-19.

Dalam titah itu, baginda turut mengingat, ahli politik supaya tidak mengakhiri perbezaan dengan permusuhan, sebaliknya mengutamakan perundingan dan proses perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan. BH



Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker