Ketepi defisit, rakyat perlu satu lagi pakej rangsangan, Najib beritahu Putrajaya

Najib Razak
Najib Razak menggesa kerajaan mengetepikan kebimbangan berhubung defisit negara dan memperkenalkan satu lagi pakej rangsangan ekonomi untuk mengelakkan kemerosotan ekonomi lebih teruk.

Bekas perdana menteri itu berkata, gelombang ke-3 Covid-19 menyebabkan ekonomi negara mengalami tekanan lebih berat, dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Lembah Klang dan Sabah.

Katanya, walaupun ramai masih keluar bekerja, dengan pusat beli-belah dan restoran masih beroperasi, kebanyakan rakyat tidak berani keluar dan berbelanja.

“Keadaan dirumitkan lagi dengan tamatnya pelbagai bantuan dan insentif dalam pakej Prihatin yang dilaksanakan ketika perintah kawalan pergerakan fasa pertama, seperti moratorium pinjaman, sewa percuma dan diskaun elektrik.

“Jika kerajaan cuma mahu jaga defisit negara dan tidak melancarkan pakej Prihatin dan rangsangan ekonomi ke-2 yang cukup bermakna, maka kemerosotan ekonomi negara akan lebih teruk daripada ramalan,” tulisnya di Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ramalan pertumbuhan ekonomi oleh Putrajaya dan Bank Negara Malaysia bagi tahun ini terlalu optimistik dan terpaksa diturunkan kemudian.

“Jika kita tidak bertindak segera, maka negara perlu bersedia untuk berdepan risiko kemerosotan ekonomi yang jauh lebih parah berbanding andaian sekarang.”

Katanya, dengan penularan baru di negara Barat dan lebih banyak kes diramalkan pada musim sejuk, ia akan memaksa mereka melaksanakan perintah berkurung tidak lama lagi yang akan menjejaskan ekonomi dunia dan eksport Malaysia. FMT

Pakej rangsangan ekonomi sumbang 3.7 hingga 4% KDNK tahun ini, kata Tengku Zafrul

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker