Darurat bolehkan Belanjawan 2021 tanpa kelulusan Parlimen · MYKMU.NET

Darurat bolehkan Belanjawan 2021 tanpa kelulusan Parlimen

Share

Seorang penganalisis politik percaya “darurat” akan membolehkan Belanjawan 2021 dilakukan tanpa kelulusan Parlimen, menjangkakan Agong akan mengambil alih pentadbiran “dengan nasihat Kabinet Darurat yang baharu”.

Langkah itu juga mengelakkan undi tidak percaya, “yang dikatakan punca utama tindakan politik ini”, kata Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya kepada FMT hari ini. Belanjawan dijangka dibentangkan pada 6 Nov ini.

“Kalau Belanjawan 2021 tak dapat diluluskan, boleh akibatkan Perdana Menteri perlu letak jawatan dan kerajaan tumbang,” tambahnya.

Beliau menjelaskan pentadbiran “darurat” akan mentadbir bagi tempoh tertentu dan tempoh itu boleh diperbaharui.


“Tujuannya untuk kestabilan politik dan fokus juga kepada tangani pandemik Covid-19 serta pulihkan ekonomi secara berfokus,” tambahnya.

“Apabila keadaan reda barulah diadakan pilihan raya umum.”

Awang Azman bagaimanapun menarik perhatian kepada situasi pandemik di Malaysia, mengatakan keadaannya lebih baik berbanding United Kingdom, Belanda, Kanada, dan Amerika Syarikat.

“Malaysia masih lagi di tangga 88 dunia yang bermakna masih terkawal,” katanya.

Awang Azman juga percaya “darurat” suatu langkah atau peluang baik kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin “untuk menyelamatkan kedudukan beliau” dan “menjauhkan desakan pihak tertentu yang mahu menjatuhkannya”.

Muhyiddin tiba di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang hari ini untuk menghadap Agong, di sebalik spekulasi Putrajaya mempertimbangkan “darurat” ketika kes Covid-19 melaporkan angka jangkitan 700 hingga 800 sehari.

Pertemuan ini menyusuli mesyuarat khas Kabinet untuk membincangkan Belanjawan 2021 di Putrajaya hari ini.

Selain para menteri, difahamkan Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang, Peguam Negara, Idrus Harun dan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador turut hadir. FMT

Darurat jalan terakhir mengekang ahli politik gila kuasa

Leave a Reply