Isu kuarantin : Mana rotan Abah, tanya DAP

DAP membidas keputusan Peguam Negara terhadap kes yang melibatkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi PAS, Mohd Khairudin Aman Razali.

Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata Mohd Khairudin secara jelas telah melanggar SOP kuarantin wajib yang ditetapkan sekaligus telah memusnahkan segala keyakinan dan kepercayaan rakyat.

“Sebegitu sahaja, Pejabat Pendakwa Raya berjaya memusnahkan segala keyakinan dan kepercayaan awam terhadap integriti dan kebebasannya dengan keputusan “Tiada Tindakan Lanjut” terhadap kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi PAS.

“Sebegitu sahaja, Pejabat Pendakwa Raya (AGC) berjaya memusnahkan segala keyakinan dan kepercayaan awam terhadap integriti dan kebebasannya dengan keputusan “Tiada Tindakan Lanjut” terhadap kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi PAS, Mohd Khairudin Aman Razali yang telah mengingkari SOP kuarantin Covid-19 sejurus selepas pulang bersama rombongannya daripada satu lawatan ke Turki pada 7 Julai 2020.

“Salah satu tugas pentadbiran 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang berlangsung pada 9 Mei 2018 adalah untuk memulihkan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada integriti, profesionalisme, dan kebebasan institusi-institusi utama negara, dan amat menyakitkan melihat usaha ini sedang dimusnahkan oleh kerajaan pintu belakang yang telah menggantikan kerajaan Pakatan Harapan secara tidak sah melalui konspirasi Langkah Sheraton,” katanya melalui satu kenyataan sebentar tadi.

Terdahulu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata kertas siasatan oleh polis sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan pejabat itu memutuskan untuk tiada tindakan lanjut (NFA).

Polis membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin selepas gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada 7 Julai lalu.

Polis menjalankan siasatan ke atasnya mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) susulan 27 laporan yang diterima polis berhubung perkara itu.

Sementara itu menurut Kit Siang lagi keputusan Peguam Negara itu jelas membuktikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengamalkan sikap pilih kasih.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas beliau pada 6 Oktober mengatakan yang sesiapa pun yang melanggari SOP Covid-19 akan berhadapan dengan tindakan.

“Beliau berkata: Maafkan saya jika ‘Abah’ terpaksa menggunakan rotan! Di manakah rotan abah?

“Muhyiddin mengumumkan yang tidak ada pilih kasih dalam pelaksanaan peraturan kuarantin,” jelasnya pula.

Pemimpin veteran DAP itu turut mendakwa layanan istimewa tersebut adalah bertujuan untuk menjaga hati PAS bagi memastikan parti itu terus kekal menyokongan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Memang betul tidak ada sikap pilih kasih. Tetapi apa yang ada adalah layanan istimewa di mana menteri PAS diletakkan di tempat yang istimewa dalam kerajaan Perikatan Nasional.

“Memandangkan tanpa sokongan PAS semasa UMNO sedang mempertimbangkan menarik diri daripada Perikatan Nasional ini bermakna tiada kerajaan PN. Rakyat Malaysia yang patriotik menangis demi negara!,” bidasnya lagi. Suara.tv

Jabatan Peguam Negara jelaskan kenapa ‘tiada tindakan lagi’ terhadap Khairuddin

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker