33 pelajar positif Covid-19, STIAS Senawang ditutup · MYKMU.NET

33 pelajar positif Covid-19, STIAS Senawang ditutup

Share

SEREMBAN: Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) Senawang mengesahkan seramai 33 orang orang pelajarnya positif Covid-19 semalam.

Pengerusi Pengelola STIAS Senawang, Abdullah Abdol Razak berkata, keputusan tersebut diperolehi hasil ujian saringan yang telah dibuat seluruh warga kerja dan pelajar di STIAS Senawang berikutan salah seorang daripada pelajarnya didapati positif Covid-19.

“Bagaimanapun, pihak pengurusan sekolah telah mengambil tindakan pantas kuarantin kendiri dengan tidak membenarkan warganya keluar daripada kawasan sekolah dan tidak membenarkan sesiapa untuk masuk ke kawasan sekolah sebaik sahaja mengetahui ada pelajarnya yang positif Covid-19.

“Kesemua 33 orang pelajar tersebut telah pun dibawa ke pusat kuarantin khas oleh pihak Kementerian Kesihatan, sementara baki pelajar dan warga kerja yang masih belum mendapat keputusan juga sedang menjalani kuarantin sementara menunggu keputusan ujian daripada pihak Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan melalui akaun rasmi Facebook STIAS hari ini.

Dalam kenyataan tersebut juga dimaklumkan seluruh kawasan STIAS Senawang telah disanitasi dan kini sudah ditutup dan dikosongkan sepenuhnya.

Tular sejak malam tadi mesej di aplikasi WhatsApp berhubung seramai 33 pelajar Sekolah Tinggi Islam As Sofa dekat Jalan Bunga Tanjung 1/1, Senawang Industrial Park dekat sini yang dipercayai positif Covid-19.

Menerusi mesej tersebut, kesemua 33 pelajar berkenaan telah dibawa ke Hospital Rembau serta pusat kuarantin di Bandar Enstek, Nilai sejak malam tadi.

Kesemua mereka didapati positif selepas pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) membuat ujian saringan kelmarin terhadap 84 pelajar yang mempunyai kontak rapat dengan seorang pelajar sekolah tersebut yang disahkan positif Covid-19, kelmarin.

Menurut mesej itu juga, PKD telah membuat saringan terhadap baki 75 pelajar semalam, namun keputusan masih belum diperoleh.

Turut tular semalam, video yang memaparkan sebuah bas dan beberapa buah van serta ambulans yang dipercayai digunakan untuk membawa pelajar yang positif Covid-19 tersebut ke Hospital Rembau. -UTUSAN

112 warga PDRM disahkan positif Covid-19

Leave a Reply