Singkir Super KIP, Razlan sedia dikritik

Kuala Lumpur: Dihujani dengan kritikan daripada netizen di laman sosial berhubung tindakan pasukan PETRONAS Sepang Racing Team (SRT) menggugurkan pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi, prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali tidak mudah melatah.

Malah dia membaca semua komen dan kecaman yang dilontarkan kepadanya namun keputusan sudah pun dibuat dengan pelumba dikenali sebagai Super KIP itu tidak akan lagi kelihatan di kancah saingan kejuaraan motosikal dunia tahun depan.

Ia bukan keputusan mudah kerana Razlan mengakui bahawa Khairul seorang pelumba yang berbakat apabila dua kali menamatkan perlumbaan sebagai juara di GP Argentina dan Jerman pada 2016.

“Saya faham kekecewaan dan kecaman daripada orang ramai. Pasukan Malaysia tapi tiada pelumba tempatan.

“Saya terima kritikan itu dan saya membaca semua maklum balas daripada mereka. Tapi kita perlukan pelumba yang boleh memberikan saingan kompetitif.

“Saya harap peminat bersabar. Untuk membentuk seorang pelumba memerlukan masa dan ketika ini kita ada tiga pelumba yang sedang berlumba di CEV (Adam Norrodin di Kejuaraan Moto2 Eropah, Syarifuddin Azman di Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia dan Muhammad Sharul Ezwan Sharil (European Talent Cup).

“Mereka akan beraksi di Kejohanan Dunia bila sampai masanya. Saya tidak mahu membawa mereka kerana terdesak, saya mahu mereka benar-benar bersedia untuk memberikan cabaran bersaing di peringkat lebih besar,” katanya.

Kata Razlan, PETRONAS SRT sudah memberi Super KIP peluang menunjukkan peningkatan kerana situasi yang dialami oleh pelumba dari Perak itu yang memilih menjalani pembedahan untuk memotong jarinya pada Ogos lalu bagi membolehkannya beraksi dengan baik, tapi keputusan tetap sama, tidak berubah.

“Sebagai pasukan profesional, kita ada sasaran. Sasaran yang diletakkan kepada KIP bukan tinggi. Sebab kita faham situasinya. Kami bertolak ansur dengan sasaran daripada kelompok 15 terbaik ke kelompok 20 terbaik sehinggalah kami katakan ‘jangan sehingga (penamat) tercorot’.

“Kita sudah buat yang terbaik. Malah kekadang itu lebih lagi dari rakan pasukan dia (John McPhee). Tapi tak nampak tanda-tanda dia boleh bangkit. Takkan kita nak pelumba yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-22, ke-18, ke-19.

“Jika dulu kita ada satu pasukan saja iaitu Moto3. Tetapi bila pasukan ini sudah besar, ada Moto3, Moto2 dan MotoGP dan bila pelumba lain tunjukkan peningkatan dan tetapi pelumba tempatan kita tidak begitu. Maka bagi saya, kita sudah tak tahu apakah yang perlu dilakukan lagi, jadi kita membuat keputusan untuk tidak menyambung kontraknya,” katanya.

Namun mungkin ada sedikit sinar buat pelumba berusia 22 tahun itu untuk kembali dalam saingan dunia namun ia datang dengan bersyarat, iaitu Super KIP perlu menunjukkan peningkatan pada baki empat perlumbaan saingan dunia nanti.

Itu adalah salah satu peluang untuk Super KIP jika benar pelumba itu mahu kekal dalam perlumbaan permotoran dan kembali berlumba di Kejuaraan Eropah FIM CEV.

“Kalau dia boleh tunjukkan sedikit peningkatan, kita boleh pertimbangkan. Bukannya seperti buka laci ambil wang RM1 juta dan berikan kepada KIP untuk dia ke CEV Moto2. Jadi pelumba itu kena lakukan sesuatu,” katanya.-HM

Moto3: Khairul Idham Pawi digesa beri komitmen tinggi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker