Sibuk jaga sekatan jalan, solat tetap diutamakan · MYKMU.NET

Sibuk jaga sekatan jalan, solat tetap diutamakan

Share

Putrajaya: Biarpun sibuk dengan tanggungjawab mengawal Sekatan Jalan Raya (SJR) susulan Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun tanggungjawab menunaikan solat fardu di lokasi tetap dilakukan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, beliau sentiasa mengingatkan anggotanya untuk mengimbangkan dunia dan bekalan akhirat walaupun ketika melakukan tugas hakiki demi keselamatan negara.

Menurutnya, setiap anggota diberikan tempoh masa secara bergilir-gilir untuk menunaikan solat supaya tugasan SJR berjalan lancar serta terkawal baik.

“Setakat semalam, tahap SJR dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di pusat pentadbiran kerajaan ini adalah tinggi kerana sebahagian besar penduduknya mematuhi undang-undang.

“Sehingga semalam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menerima sebanyak 201 permohonan rentas negeri membabitkan pelbagai alasan termasuk menziarahi kematian ahli keluarga yang tinggal di negeri lain, isu perubatan dan hal kecemasan.

“Daripada jumlah itu sebanyak tujuh permohonan rentas negeri ditolak kerana memberi alasan tidak munasabah,” katanya ketika ditemui selepas mengimamkan solat Maghrib secara berjemaah di SJR Leboh Sentosa di sini malam tadi.

Pihak polis mengadakan empat SJR di Putrajaya sepanjang PKPB bermula 14 Oktober lalu membabitkan seramai 188 pegawai dan anggota.

SJR diadakan di Lebuh Sentosa menghala keluar ke Lebuhraya Maju (Mex Expressway), Persiaran Selatan menghala keluar ke Dengkil, Persiaran Utara Pintu Dua A menghala ke Kajang dan Persiaran Utara Pintu Tiga menghala ke Puchong.

Mohd Fadzil berkata, sepanjang PKPB ini pihaknya sudah mengeluarkan 22 kompaun kepada individu yang ingkar pematuhan SOP Covid-19.

Katanya, polis juga menahan 21 individu ingkar SOP membabitkan pelbagai kesalahan serta dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 bagi setiap kesalahan.

“Antara kesalahan dilakukan adalah tidak memakai pelitup muka, ingkar penjarakkan sosial, membawa lebih penumpang, tidak menggunakan aplikasi MySejahtera di premis perniagaan dan tidak menyediakan penyukat suhu badan,” katanya.

Rumah dijilat api, al-Quran tidak terbakar

Leave a Reply