Pasangan tunang rempuh sekatan jalan raya

Cemas kerana membawa dadah, seorang lelaki bersama tunangnya yang menaiki kereta jenis Honda Ferio bertindak merempuh sekatan jalan raya di Batu 15 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, kenderaan yang dinaiki pasangan terbabit diarah berhenti oleh anggota polis apabila dikesan berada dalam keadaan mencurigakan namun enggan memberikan kerjasama.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata suspek memecut kenderaannya dan cuba melarikan diri sehingga hampir merempuh seorang anggota polis, mengakibatkan anggota berkenaan cedera pada pergelangan tangan.

“Anggota polis terpaksa mengejar kenderaan suspek sehingga ke jalan mati di Taman Bukit Rawang Jaya dan cuba bertindak agresif semasa ditahan.

“Polis menemukan empat peket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu, 20 biji pil Eramin 5 yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM2,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arifai berkata kedua-dua suspek berumur 29 dan 34 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah, dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine manakala tunangnya negatif.

Kedua-dua suspek ditahan reman enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Polis buru pemandu Proton Wira setelah Lari dari Sekatan Jalan Raya Dan Rempuh Motosikal [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker