Krisis politik jejas keyakinan pelabur

SHAH ALAM – Landskap politik negara yang tidak menentu akan menyebabkan pelabur tidak berminat untuk melabur di Malaysia sekali gus menyebabkan ekonomi negara menjadi tidak stabil.

Penganalisis ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, trend sedemikian akan menjejaskan pasaran saham dan memberikan kesan kepada banyak pelaburan langsung asing (FDI) dan keputusan-keputusan pelaburan antarabangsa.

“Kebanyakan pelabur mahukan jaminan khusus dari segi kestabilan politik dan mahu pelaburan mereka mendapat pulangan yang berbaloi pada ketika ini yang turut terkesan dengan penularan koronavirus (Covid-19),” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keadaan politik negara masa kini yang dilihat semakin bercelaru dan ancaman penularan pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Pelabur asing jual RM1.04 bilion minggu lalu, Bursa jatuh di bawah paras 1600 mata.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, keadaan politik hari ini memberikan kesan negatif kepada negara seperti menimbulkan ketidaktentuan kerana pelabur tidak tahu apa yang akan terjadi.

“Adakah kerajaan sedia ada akan menerajui negara atau kerajaan baharu atau parti politik mana yang akan terlibat?

“Keadaan sebegini bukan sahaja memberikan kesan kepada pelabur tetapi turut memberikan keresahan kepada peniaga di negara ini,” kata beliau.

Beliau berpendapat kerajaan sedia ada perlu kekal mentadbir negara kerana track record sebelum ini dalam mengendalikan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan mewujudkan program-program ekonomi seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang memberikan bantuan kepada golongan yang terjejas akibat pandemik maut yang tidak pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.

“Usaha berkenaan telah memberikan manfaat yang besar kepada negara khususnya kepada seramai 12 juta isi rumah yang mendapat faedah daripada bantuan ekonomi yang disediakan,” katanya.

Jangan Sangkal Kekuatan Muafakat Nasional

Katanya, pihak tertentu dinasihatkan supaya tidak mengusik kerajaan sedia ada kerana pencapaian mereka sebelum ini membuktikan mereka adalah kerajaan yang terbaik dan kini merupakan tanggungjawab bersama untuk mengekang penularan Covid-19 yang semakin meruncing.

“Kerajaan sedia ada juga perlu fokus kepada Belanjawan 2021 yang perlu mengutamakan tiga elemen utama iaitu menangani Covid-19, membantu isi rumah yang memerlukan dan pendidikan,” katanya.

Belum terlambat

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, sekarang bukan waktunya untuk mengadakan pilihan raya umum dengan mengambil pengajaran daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang mewujudkan gelombang ketiga Covid-19.

“Segala usaha untuk menarik pelabur dan memulihkan ekonomi masih belum terlambat dan sesuai dilakukan tahun hadapan kerana tahun ini fokusnya masih kepada membendung wabak dan meneruskan pakej rangsangan ekonomi sedia ada,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmed Razman berkata, isu ketidakstabilan politik ketika ini harus diselesaikan bulan depan apabila sidang Parlimen kembali bermula kerana ketika itu undi tidak percaya harus dilakukan.

Kenapa pelabur keluar tinggalkan pasaran Malaysia ?

“Jika ia tidak dilakukan, Yang di-Pertuan Agong harus mengambil peranannya dengan berjumpa semua ketua parti politik utama untuk mendapatkan gambaran sebenar sokongan kepada kerajaan sekarang,” katanya.

Ahmed Razman berkata, jika benar sokongan telah beralih kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka beliau harus dilantik sebagai Perdana Menteri sebagaimana proses pelantikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selepas itu segala agenda pemulihan ekonomi harus diteruskan dimulai dengan meluluskan Belanjawan 2021 dan melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Jika mandat kepada kerajaan baharu adalah kukuh, ia akan memberi keyakinan kepada pelabur untuk kembali melabur di Malaysia.

“Jika tidak, dan masih berlaku pergeseran politik, langkah yang terbaik ialah mengadakan pilihan raya semula, tetapi bukan sekarang, mungkin tahun hadapan apabila pandemik covid-19 berjaya dibendung atau vaksin ditemui,” katanya.

Saham tempatan murah tapi gagal ‘goda’ pelabur

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker