Berpakat dengan adik bunuh suami

KUALA LUMPUR: Seorang wanita sanggup merancang pembunuhan suaminya bagi mendapatkan harta lelaki itu dianggarkan lebih RM2 juta serta insurans nyawa bernilai RM800,000.

Menurut sumber, suspek berusia 45 tahun dikatakan turut mengupah adik lelakinya berusia 42 tahun untuk bersekongkol dengan perbuatan itu dengan menawarkan sebahagian harta yang bakal diperoleh selepas tugasnya selesai.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 1 Oktober lalu itu dengan suspek dikatakan menyuruh adik lelakinya datang ke rumah mereka di Jalan Jati, Rumah Murah PKNS, Kampung Sungai Chua, Kajang di sini untuk membunuh mangsa.

Susulan kejadian itu, suspek membuat satu laporan polis mengatakan suaminya disamun seorang individu tidak dikenali sehingga cedera dan rantai emas yang dipakainya dilarikan.



Mangsa yang cedera di kepala dalam kejadian itu dimasukkan ke Hospital Kajang untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 10 Oktober lalu.

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati wujud keraguan dalam laporan dibuat suspek yang juga isteri pertama mangsa sebelum pihak polis memberkas wanita itu dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Difahamkan, mangsa berusia 59 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) mengusahakan perniagaan lori dan besi buruk.

Mangsa juga dikatakan mempunyai dua isteri dan enam orang anak berusia dalam lingkungan belasan tahun dan 20-an.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, mengesahkan suspek membuat laporan polis mendakwa suaminya disamun dan rantai emas milik mangsa dilarikan.

“Siasatan mendapati mangsa dipukul di kepala dengan menggunakan tukul. Senjata yang digunakan dalam kejadian itu sudah dirampas.

“Hasil siasatan mendapati, pengadu iaitu isteri kepada mangsa merancang dan membunuh suaminya bersama dengan adik lelakinya untuk mendapatkan harta mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majisret Kajang esok untuk didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan. HM



Polis maut dilanggar pemandu mabuk di sekatan jalan di Kajang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker