Bawa isu larang tanam ketum dalam Mesyuarat Exco: MB Kedah

Kerajaan negeri sedia membawa cadangan larangan penanaman ketum di Kedah yang disyorkan polis, dibawa ke dalam Mesyuarat Majlis Majlis Mesyuarat Negeri (Exco).

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan terdahulu telah cuba beberapa kali mengharamkan penanaman ketum termasuk merampas tanah namun tiada tindakan dapat diambil sehingga kini.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya mendapati isu berkaitan tanaman ketum agak sukar diselesaikan susulan ia diletakkan di bawah Akta Racun 1952.

“Malah, tindakan mengikut Kanun Tanah Negara pula harus diteliti mendalam memandangkan individu menanam pokok ketum dilihat tidak melanggar syarat tanaman kerana ia dikategorikan sebagai masih menanam pokok.

“Dahulu, ketum digunakan untuk merawat masalah cacing namun ada yang menyalahgunakan tanaman berkenaan sebagai koroi sebelum ia kemudian menjadi masalah dadah,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan yang mengesyorkan supaya kerajaan negeri melarang penanaman ketum di Kedah, semalam.

Terdahulu, Muhammad Sanusi membuat penyerahan bantuan kepada Pegawai Daerah Pokok Sena, Ahmad Bawadir Abdul Ghani untuk disampaikan kepada 485 keluarga warden Penjara Pokok Sena di Pejabat Daerah Pokok Sena, di sini, hari ini.

“Jadi, kita berpendapat bahawa usaha memerangi dadah dan ketum penting. Selain isu ketum kita juga lihat isu dadah di negeri ini dan perkara ini akan dibawa ke Mesyuarat Exco untuk dibincangkan” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, isu melibatkan ketum termasuk tindakan bersesuaian boleh diambil mengikut Akta Racun, Kanun Tanah Negara dan Akta Dadah Berbahaya akan dibincangkan dahulu.

Katanya, pihaknya juga sedia berbincang dengan agensi berkaitan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk menangani masalah berkenaan manakala pihak berkuasa diharap dapat meningkatkan kawalan mereka di beberapa lokasi panas termasuk kawasan perairan.

Semalam, Polis Kedah bercadang mengesyorkan kerajaan negeri meminda undang-undang berkaitan tanah bagi menguatkuasakan larangan penanaman ketum di Kedah ekoran penyalahgunaan bahan itu seakan-akan tiada berkesudahan.

Memo dakwa pemimpin PKR Perlis ketagih ketum dihantar pada Anwar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker