WHO puji muafakat kerajaan, rakyat tangani COVID-19 · MYKMU.NET

WHO puji muafakat kerajaan, rakyat tangani COVID-19

Share
Kerajaan mengambil berat kesihatan rakyat, lebih-lebih lagi ketika wabak COVID-19.
Kerajaan mengambil berat kesihatan rakyat, lebih-lebih lagi ketika wabak COVID-19.

BAGAI aur dengan tebing, begitulah hakikat keakraban hubungan antara kerajaan dengan rakyat di negara ini dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Muafakat ini membentuk kemenjadian terbaik hingga negara mendapat pujian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkaitan usaha memerangi pandemik berkenaan.

Katanya, Malaysia mempunyai kemampuan kuat dalam kesiapsiagaan dan respons wabak serta infrastruktur dan tenaga kerja terlatih untuk menyediakan perawatan kesihatan berkualiti tinggi. Ini membantu mewujudkan asas stabil untuk tindak balas wabak terhadap COVID-19 setakat ini.

Apabila berlaku pandemik dan keadaan separa darurat, Malaysia berjaya meningkatkan khidmat kesihatan dengan pantas melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) Kebangsaan yang menjadi ‘jantung negara’ dalam melawan COVID-19.

WHO juga melalui wakilnya turut memuji bagaimana Kerajaan Malaysia memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkesan membendung penularan wabak ini.

Malah, cadangan utama WHO untuk ‘menguji, merawat dan mengesan’ populasi virus berkenaan, ternyata Malaysia menerapkan strategi lebih baik daripada itu melalui ‘cari, uji, isolasi, rawat dan kuarantin’ untuk melandaikan lengkuk graf kes dalam komuniti.

Atas siri kejayaan semua pihak di negara ini, maka Pejabat Perwakilan WHO untuk Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura berminat bekerjasama dengan KKM dan rakan strategik untuk memberikan sokongan kritikal dalam bidang koordinasi rakan kongsi, maklumat dan perancangan, kepakaran teknikal, sokongan operasi dan logistik.

Sebagai contoh, WHO membekalkan kit ujian awal sebelum tersedia secara komersial dan menyediakan protokol ujian untuk diagnosis pada Mac lalu.

Lebih-lebih lagi, Malaysia juga dijemput menyertai kajian rawatan solidariti WHO dan menjadi negara pertama di Asia yang memberi sepenuh komitmen terhadap usaha itu.

Pejabat negara WHO juga mengupayakan pelbagai platform strategik untuk semua kegiatan berkaitan respons COVID-19, meliputi perolehan, pengawasan dan pemantauan, epidemologi dan pengumpulan, pemprosesan serta analisis data untuk memberikan informasi berdasarkan bukti dan nasihat pakar.

Pendekatan KKM diterajui Datuk Seri Dr Adham Baba pada saat ini adalah mendidik semua pihak tidak kira darjat untuk terus mengamalkan norma baharu dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) digariskan.

WHO dan KKM mempunyai pandangan sama yakni kewaspadaan dan pencegahan berterusan adalah satu-satunya cara menghentikan penularan virus hingga vaksin selamat dan berkesan tersedia.

Langkah ini berjaya membendung dan membatasi penyebaran COVID-19 terutama ketika ia mengorbankan ramai nyawa.

Bagi WHO, rakyat dan kerajaan di negara ini melakukan sesuatu amat bagus serta tepat pada masanya.

WHO memang sekian lama memuji sistem khidmat kesihatan negara termasuk keberkesanan klinik kesihatan di seluruh negara yang menjadi barisan hadapan mencegah pelbagai jenis penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit (NCD)-BH

Dr Muhammad Kelantani, Bandar Baru Bangi

Leave a Reply