Pelabur akan lari akibat gangguan air kerap di Selangor, kata FMM · MYKMU.NET

Pelabur akan lari akibat gangguan air kerap di Selangor, kata FMM

Share

Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) cawangan Selangor dan Kuala Lumpur memberi amaran gangguan air yang kerap akan menjejaskan keyakinan pengguna serta pelabur terhadap sistem pengurusan air negeri.

Menekankan 4 gangguan air tidak berjadual sejak 2 bulan lalu, persekutuan itu berkata, gangguan itu akan menambah beban rakyat dan syarikat yang sedang berdepan cabaran Covid-19 serta memberi kesan buruk kepada ekonomi.

“Untuk melangkah ke depan, pembekal air perlu menggunakan teknologi lebih canggih untuk menguruskan rangkaian bekalan dan sumber air di muka sauk. Keseluruhan rantai bekalan air perlu dinaik taraf dan dimodenkan untuk memastikan sebarang pencemaran pada masa depan atau gangguan berpotensi dapat diatasi.

“Tanpa sistem pengurusan air menyeluruh dan moden, negeri ini akan terus mengalami gangguan bekalan air,” kata Jacob Lee, pengerusi FMM cawangan Selangor dan Kuala Lumpur.

Sebanyak 1,196,457 akaun pengguna Air Selangor di 1,292 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan tidak berjadual sejak semalam, selepas 4 loji rawatan air ditutup akibat pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Loji itu sudah beroperasi semula dan bekalan air disalurkan secara berperingkat mulai hari ini.

Lee berkata, pemulihan bekalan air perlu diutamakan kepada kawasan perindustrian kerana sumbangan ekonomi mereka.

Beliau menggesa kerajaan Selangor membenarkan pengeluar menggunakan air bawah tanah pada kadar bayaran minimum sebagai pelengkap kepada bekalan air terawat.

Dengan pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 untuk menaikkan denda minimum RM200,000 dan tidak melebihi RM1 juta, serra hukuman penjara sehingga 3 tahun bagi pencemar sungai di Selangor, Lee berharap pindaan itu akan berfungsi sebagai pencegah kepada pencemar berpotensi.

“FMM Selangor dan Kuala Lumpur menggesa penduduk serta industri di Selangor bertanggungjawab dan tidak mencemarkan sungai kerana bekalan air adalah utiliti penting untuk mereka.

“Kita turut menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan segera melindungi sumber air bagi memastikan bekalan air sentiasa ada.” FMT

PUNCA GANGGUAN BEKALAN AIR DI SELANGOR

Leave a Reply