Kualiti perkhidmatan Air Selangor dipersoal

KELMARIN, baru sahaja Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengumumkan gangguan bekalan air akibat paip pecah di 686 kawasan yang melibatkan lima buah wilayah iaitu Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor akan pulih sepenuhnya dalam tempoh dua hari.

Namun, tidak sempat ia diselesaikan sepenuhnya, timbul pula insiden pencemaran sumber air mentah yang dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi semalam.

Gangguan tersebut melibatkan lebih 1.2 juta pemegang akaun di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Pada bulan ini sahaja, terdapat sekurang-kurangnya tiga insiden gangguan air di negeri paling maju itu iaitu pada 4, 18 dan 19 Oktober 2020.

Gangguan bekalan air bukan sahaja menjejaskan sektor industri, malah seisi rumah tatkala warga Lembah Klang sedang menjalani pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memutuskan rantaian pandemik koronavirus (Covid-19).

Bayangkanlah nasib lima sekeluarga termasuk anak-anak kecil di dalam sebuah rumah yang terpaksa menghadapi keadaan tersebut. Ia sudah tentu sedikit sebanyak ‘menyesakkan’ otak ketua keluarga.

Bagi mereka yang tidak dapat bekerja sepanjang tempoh PKPB, gangguan air seolah-olah meletakkan garam pada luka.

Hendak dimarahi anak-anak kecil yang berpesta sisa air di bilik mandi atau berulang ke tandas, mana mungkin.

Lantas, laman komentar Air Selangor menjadi tempat meluahkan kekecewaan dan kemarahan sama ada terhadap syarikat berkenaan mahupun kepada pihak yang menyebabkan insiden tersebut.

Tempias

Malah, ada warga maya secara sinis ‘menyeru’ pusat perubatan Islam merawat Air Selangor yang sering sahaja mengalami gangguan.

Turut menerima tempias ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Beliau sudah tentu menggalas tanggungjawab berkenaan bagi memastikan seluruh pelosok dan rakyat di negeri itu kembali menikmati titisan air bersih.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi menerusi ciapannya melontarkan persoa-lan, apakah ada unsur sabotaj atau khianat sehingga acapkali sumber air dicemar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kekerapan berlakunya insiden henti tugas tidak berjadual mutakhir ini perlu disiasat dan tindakan tegas wajib diambil oleh kerajaan negeri,” ciap beliau.

Bagaimanapun, rakyat perlu memahami bahawa tindakan Air Selangor ataupun Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang memutuskan untuk menghentikan operasi tugas Loji Rawatan Air (LRA) apabila mengesan sesuatu yang tidak kena adalah untuk menjamin keselamatan pengguna.

Tidak dapat dibayangkan sekiranya LRA meneruskan tugasnya meskipun terkandung bahan kimia di dalamnya yang sudah tentu mendatangkan bahaya dan risiko kepada pengguna.

Justeru, sebagai rakyat, yang kita dapat lakukan adalah mengurut dada dan beristighfar sekiranya amarah itu muncul.

Seeloknya, kita berjemaah mendoakan pelakunya diheret ke muka pengadilan dan dijatuhi hukuman yang setimpal bagi memastikan kejadian sama tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

Ini kerana doa-doa manusia yang teraniaya itulah yang menjadi ‘senjata tajam’.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker