Biarlah UMNO hilang kuasa, asalkan tidak bersama DAP

Saudara Pengarang,

Selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September lalu, pelbagai spekulasi timbul mengenai status kerjasama UMNO bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan dan beberapa negeri.

Beberapa hari selepas 26 September, kerjasama Umno-Bersatu bergoncang susulan dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau menerima sokongan kukuh dan menyakinkan daripada Ahli Dewan Rakyat untuk menumbangkan kerajaan PN di peringkat Persekutuan.

Kemudian, kenyataan demi kenyataan dikeluarkan pimpinan UMNO, paling menonjol oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa partinya sedia menarik diri daripada PN dan akan memberi syarat baharu jika Bersatu dan PN tidak mahu kehilangan sokongan Ahli Parlimen parti songkok hitam itu.

Tambah menarik apabila Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad pula mendakwa 30 Ahli Parlimen UMNO menyokong Anwar untuk menubuhkan kerajaan baharu menggantikan PN yang dibentuk Bersatu, Muafakat Nasional (MN) terdiri UMNO dan Pas, Barisan Nasional (BN) pula melibatkan UMNO, MCA dan MIC serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Terdahulu, Khalid seperti dilaporkan oleh sebuah portal berita, mendakwa jumlah sokongan terhadap Anwar ialah sebanyak 122 yang membabitkan 30 Ahli Parlimen UMNO, 39 daripada PKR, 42 Ahli Parlimen DAP dan 11 daripada Amanah.

Saya tidak begitu pasti dengan dakwaan Khalid, tetapi andaikan ia benar, UMNO terpaksalah bekerjasama dengan DAP, iaitu sekutu paling kuat bagi PKR dan Amanah dalam Pakatan Harapan (PH).

Bagi saya, ia pasti satu tragedi andai UMNO mengorbankan dasar perjuangan ABATA (Agama, Bangsa, Tanah Air) untuk menjalin kerjasama politik dengan DAP, musuh paling utama parti saya sejak sekian lama.

Secara peribadi, saya berpegang bahawa dalam apa keadaan sekali pun, biarlah hilang kuasa atau tidak lagi bersama mentadbir Malayisa dari Putrajaya, orang Melayu sama sekali tidak boleh menerima DAP.

Andai itu terjadi, maka akan tersuratlah ia sebagai pengkhianatan terbesar kepada bangsa sendiri. Pasti robek jiwa dan hati pendokong-pendokong UMNO jika parti mereka dianggap tiada maruah kerana sanggup menyembah DAP, sanggup membiarkan kampung tergadai, asalkan sorak dimenangi.

Adakah begitu mudah untuk ahli Umno dan orang Melayu melupakan ‘rukun’ dalam parti bahawa DAP itu adalah parti rasis dan cauvinis sejak zaman berzaman, bahawa Lim Kit Siang dan anaknya, Guan Eng juga rasis. Apabila mereka ada kuasa di Putrajaya, hak dan kepentingan Melayu didakwa diketepikan.

Andai UMNO bekerjasama dengan DAP, maka tiadalah bezanya UMNO dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Anwar dan Mohamad Sabu yang sanggup bekerjasama dengan DAP demi kuasa. Tiada guna keringat dan usaha dikerah selama ini menentang habis-habisan parti dianggap anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja Melayu itu.

Andai itu terjadi, segala perit jerih digerakkan UMNO selama 64 tahun penubuhannya, akan mengalir ke dalam longkang begitu sahaja. Segala usaha dan tenaga dicurahkan selama 22 bulan bagi menyingkirkan kerajaan PH yang terasnya adalah DAP menjadi sia-sia.

Ke mana mahu pemimpin-pemimpin kita menyorok, mengelak ludah kembali ke muka sedangkan semua tahu dan menyaksikan sendiri apa yang DAP lakukan kepada orang Melayu dan institusi bangsa kita selama 22 bulan kerajaan PH memegang tampuk kuasa.

Andai itu terjadi, UMNO pasti akan ditolak secara total oleh orang Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti kerana parti yang dasar perjuangannya menjaga kepentingan bangsa dan agama sudah menjalin kerjasama dengan musuh utama. Hilang Umno, Melayu masih boleh berharap kepada Pas atau Bersatu.

UMNO juga pasti dibayangi DAP yang mempunyai 42 Ahli Dewan Rakyat dan berisiko tewas teruk pada PRU-15 jika menjalin kerjasama dengan ‘lawannya’ itu, sama seperti keputusan hampir semua Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini yang menyaksikan PH dimalukan kerana kaitannya dengan DAP.

Saya yakin dan pasti, andai kerjasama demikian terjadi, ahli-ahli UMNO yang sekitar tiga juta itu dan rata-rata orang Melayu sama sekali tidak akan menerima gandingan pelik berkenaan, semata-mata kerana agenda peribadi segelintir pemimpin parti yang ‘gila kuasa’. MG

Zukri Mohd Yatim
Bandar Sri Damansara, Selangor

Biarlah masuk Tanjung Rambutan daripada berbohong – Hamidah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker