UMNO Perak dakwa MB belakangi semangat setiakawan

Pengerusi Barisan Nasional Perak, Datuk Saarani Mohamad bercakap pada sidang media untuk mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N. 58 Slim di Dewan Rajawali Geda Residence Trolak, Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – UMNO Perak mengakui terasa hati dengan sikap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang membelakangi semangat musyawarah berpasukan, kerjasama dan perjanjian sebagaimana dipersetujui bersama sebelum ini.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad mendakwa, suasana yang cuba dibina antara tiga parti iaitu UMNO, Bersatu dan Pas pada Mac lalu itu, tidak dihargai dengan baik apabila satu demi satu tindakan pihak Menteri Besar membelakangi semangat berkenaan.

“Saya mendengar penjelasan Menteri Besar kepada soalan pemberita baru-baru ini, berkaitan pelantikan ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim sebagai Setiausaha Politik beliau.

“Meskipun saya cuba mengelak untuk membuat kenyataan terbuka apabila Menteri Besar melantik seorang dari ADUN UMNO, tetapi beliau sendiri telah secara terbuka menyatakan beliau tidak perlu mendapat kebenaran dari parti UMNO.

Namun, tegas Saarani, sewajarnya, pelantikan mana-mana ADUN atau pemimpin UMNO dalam kerajaan hendaklah dibincangkan dengan Badan Perhubungan Negeri atas semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati.

Beliau mengingatkan Menteri Besar, bahawa kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk pada Mac lalu itu, ditubuhkan atas semangat setiakawan serta persefahaman bagi memastikan Perak terpelihara daripada ancaman “politik yang tidak sihat”.

Katanya, tanpa semangat setiakawan, kestabilan politik negeri itu akan terancam.

“Hakikatnya, ia sudah berkali-kali dilanggari. Sebelum ini pun, ada cubaan untuk mengubah senarai nama Exco yang sudah dipersetujui serta cubaan menukar pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri.

“Saya juga ingin menegaskan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perak tidak tamak kuasa seperti yang didendangkan setiap kali kami bersuara. Hakikatnya, kami mempunyai 25 ADUN, jumlah paling besar dalam Dewan Undangan Negeri,” ujarnya.

Namun kata beliau, atas ketaatan dan semangat tolak ansur, UMNO Perak tidak menarik sokongan apabila jawatan Menteri Besar diberikan kepada parti Bersatu.

“Oleh itu, janganlah sikap keterbukaan, ketaatan serta tindakan berdiam diri kami selama ini dianggap sebagai kelemahan dan UMNO Perak boleh diperkotak-katikkan sehingga satu persatu persetujuan yang dimeterai bersama sebelum ini cuba dikhianati.

“Pendekatan berdiam diri selama ini diambil bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa dalam waktu pandemik Covid-19 ini. Hentikanlah bermain politik dan bersandiwara serta tumpukan kepada kebajikan rakyat yang menderita sekarang,” katanya. – MG

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker