Taman awam di Wilayah Persekutuan dibenar beroperasi

Share

KUALA LUMPUR – Taman awam di Wilayah Persekutuan (WP) yang sebelum ini ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan beroperasi semula.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu diputuskan hasil perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), namun perlu mematuhi garis panduan ditetapkan.

“Prosedur operasi standard (SOP) PKPB membenarkan aktiviti bersukan tertentu. Padang golf dibuka, gimnasium dibuka tetapi taman awam ditutup.

“Jawatankuasa Kerja Keselamatan (JKKN) WP memutuskan taman awam di WP boleh dibuka dengan syarat ada kawalan pematuhan SOP,” katanya menerusi Twitternya hari ini.

Annuar yang juga Pengerusi JKKN WP berkata, keputusan itu dibuat sebagai memberi peluang kepada orang awam untuk melakukan aktiviti riadah yang dibenarkan sahaja.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini memaklumkan 17 taman awam di bawah seliaannya ditutup sepanjang PKPB termasuk Taman Botani Perdana, Taman Awam Bukit Kiara dan Taman Tasik Titiwangsa.

Bagaimanapun, semalam Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan aktiviti seperti gimnasium, padang bola sepak komersial dan pusat futsal dalam kawasan PKPB akan dibenarkan beroperasi semula mulai esok dengan SOP ketat.

Leave a Reply