Sajat bertelekung – Mujahid perlu bertanggungjawab, kata defendan

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof seharusnya berani bertanggungjawab berhubung kenyataan yang dikeluarkannya membabitkan isu usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, atau lebih dikenali sebagai Sajat, yang didakwa memakai telekung dan berpakaian seperti wanita sewaktu menunaikan umrah.

Perkara itu dinyatakan oleh ketiga-tiga defendan iaitu wartawan Harakah Aziz Muda, Ketua Pengarang Harakah Wan Nordin Wan Yaacob serta penerbit laman sesawang harakahdaily dan akhbar Harakah iaitu Galeri Media Serbanika Sdn Bhd menerusi penyataan pembelaan yang difailkan pada 28 Sept lepas.

Mereka berkata Mujahid sepatutnya tidak tersinggung dengan kritikan yang dilontarkan masyarakat khususnya pengamal media berhubung isu itu.

Ketiga-tiga defendan juga mendakwa mereka telah melaksanakan tanggungjawab sebagai penulis dan pengamal media untuk membuat laporan berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Mujahid, plaintif dalam kes saman fitnah itu.

“Defendan menegaskan bahawa mereka berada di bawah tanggungjawab politik, moral dan sosial untuk menyebarkan pandangan berbeza dalam masyarakat khususnya berkaitan isu pendekatan ‘Rahmatan Lil Alamin (Rahmat ke Sekalian Alam)’ dan juga konsep ‘Amar Maaruf Nahi Munkar’ (Suruhan berbuat baik dan larangan berbuat mungkar),” menurut penyataan pembelaan itu.

Menurut ketiga-tiga defendan, mereka tidak pernah mempunyai apa-apa niat jahat terhadap bekas menteri itu dalam penerbitan artikel berkenaan kerana ia adalah berdasarkan ulasan saksama.

Penyataan pembelaan itu diperoleh pihak media menerusi peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili ketiga-tiga defendan ketika dihubungi pemberita hari ini.

Sementara itu, peguam Noorazmir Zakaria yang mewakili Mujahid, memberitahu pemberita bahawa saman tersebut ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya pada 23 Okt secara e-Review di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurul Atikah Muhammad bagi mendapatkan pemfailan dokumen.

Beliau berkata pihaknya juga telah memfailkan jawapan bagi penyataan pembelaan defendan pada 16 Okt lepas.

Mujahid memfailkan saman itu pada 12 Ogos lepas dan menamakan Aziz, Wan Nordin, Galeri Media dan pencetak akhbar itu, Percetakan Turbo (M) Sdn Bhd, sebagai defendan.

Penyataan tuntutan Mujahid mendakwa pada 7 Feb lepas, Aziz, Wan Nordin dan Galeri Media telah menulis dan menerbitkan kenyataan memfitnah terhadapnya di laman sesawang harakahdaily menerusi artikel bertajuk ‘Sajat: Mujahid dan K’jaan PH patut dipersalahkan’ serta menerbitkan satu lagi kenyataan yang memfitnahnya dalam akhbar Harakah bertarikh 10 hingga 13 Feb lepas menerusi artikel ‘Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH.’

Ahli Parlimen Parit Buntar itu mendakwa kata-kata fitnah tersebut antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang yang tidak bertanggungjawab apabila membenarkan masyarakat, khususnya yang beragama Islam, terlibat dalam aktiviti ‘Lesbian Gay Bisexual Transexual (LGBT)’ dan plaintif juga didakwa menjadi punca kepada tindakan Sajat memakai telekung serta berpakaian seperti wanita sewaktu menunaikan umrah.

Mujahid mendakwa kenyataan fitnah itu telah menjatuhkan maruah, kredibiliti serta reputasinya selaku menteri yang menjaga hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri dan akibat daripada penyebaran kata-kata fitnah tersebut, beliau mengalami tekanan serta berasa malu untuk berhadapan dengan masyarakat.

Plaintif menuntut perintah agar defendan membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya atas kenyataan fitnah itu dan ia perlu diiklan atau diterbitkan di akhbar tempatan berbahasa Melayu dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.

Penyataan tuntutan Mujahid juga meminta defendan menarik balik artikel yang diterbitkan itu serta memberi aku janji tidak akan menulis dan melaporkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya serta memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada terus memberi komen berunsur fitnah terhadap dirinya.

Selain ganti rugi, plaintif menuntut faedah lima peratus ke atas ganti rugi yang diberikan mahkamah dari tarikh writ saman hingga penyelesaian penuh, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. Bernama

Mujahid saman Harakah berhubung isu Nur Sajat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker