Rakyat muak dengan ahli politik, kemelut tiada penghujung, kata Salleh

Share

Salleh Said Keruak berkata, ahli politik perlu menyedari mereka semakin tidak disukai rakyat yang muak dengan kemelut tidak berpenghujung.

Adun Usukan itu berkata, ahli politik tidak lagi memberi persepsi baik kepada rakyat.

“Rakyat kini menganggap ahli politik sebagai tamak dan hanya mementingkan diri sendiri. Ini perlu diubah segera.

“Sudah tentulah ada masa untuk berpolitik, dan sudah pasti juga ada masa untuk berkhidmat. Rakyat sedar ahli politik di Malaysia berpolitik 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun.

“Rakyat juga semakin penat melihat gelagat ahli politik yang hanya memberi tumpuan kepada politik semata-mata, sehinggakan tiada masa untuk berkhidmat untuk mereka,” tulisnya di blognya hari ini.

Beliau berkata, sebaik saja pilihan raya berakhir, ahli politik perlu mula menjalankan tanggungjawab mereka.

Beliau turut mengingatkan ahli politik, era monopoli dan hegemoni tidak lagi wujud.

“Kita perlu terima hakikat era majoriti 2/3 ataupun majoriti mudah di Parlimen oleh hanya satu parti sudah berakhir.

“Kini, gabungan 4 atau 5 parti pun hanya mampu menang dengan majoriti tipis atau berjaya membentuk kerajaan dalam Parlimen yang hampir tergantung.

“Normal baru untuk Malaysia bukan hanya melibatkan penjarakan fizikal dan pengasingan diri dari masyarakat umum. Kini ia juga menentukan bagaimana politik harus digerakkan. Parti dan ahli politik perlu mencari titik persamaan yang boleh membuatkan mereka bekerjasama demi rakyat.”

Kenyataan Salleh menyusul keraguan berhubung masa depan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Setakat kelmarin, 16 ahli Parlimen dilapor mengemukakan semula usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, manakala ketua pembangkang, Anwar Ibrahim cuba memaksa Muhyiddin meletak jawatan.

Pada masa sama, Umno turut mengumumkan ia mempertimbang menarik balik sokongan kepada PN, jika tuntutan mereka untuk perkongsian kuasa dengan PPBM tidak dipenuhi. FMT

Usaha Bersatu Bunuh UMNO Punca Kegawatan Politik

Leave a Reply