Pemimpin politik digesa rungkai kebuntuan, tumpu pada ekonomi

Ahli politik digesa menyelesaikan perbalahan mereka mengenai kuasa secepat mungkin sebelum ketidaktentuan politik melumpuhkan pertumbuhan ekonomi.

Pakar ekonomi Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata, ketidaktentuan politik merupakan gangguan kerana tumpuan dan sumber dialihkan ke kancah politik, bukannya ekonomi negara.

Pengarah eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata, keyakinan pelabur mungkin terhakis sekiranya proses politik mengambil masa yang terlalu lama untuk mengatasi kebuntuan berhubung pihak yang akan mengendalikan kerajaan.

“Sebaik sahaja isu keabsahan kerajaan diatasi, tumpuan akan beralih kepada ekonomi,” Yeah memberitahu FMT.

Ketidaktentuan baru politik tercetus selepas Umno berkata, ia kini menimbangkan untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan nasional (PN) jika tuntutannya berhubung jawatan tidak dipenuhi.

Beberapa usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri dikemukakan oleh pembangkang dan ahli Parlimen Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Yeah, yang merupakan ahli luar jawatankuasa dasar kewangan Bank Negara Malaysia berkata, ketidaktentuan politik belum memberi impak langsung kepada ekonomi kerana ia sebahagian besarnya dijalankan oleh sektor swasta, tetapi pelabur berpotensi menangguhkan pelan perniagaan mereka sehingga politik senario reda.

“Mereka akan tunggu dasar kerajaan yang lebih jelas sebelum membuat keputusan masa depan. Pemulihan ekonomi kita mungkin memakan masa lebih lama jika ketidaktentuan politik lambat diselesaikan,” katanya, selain menambah ia juga boleh mempengaruhi kontrak kerajaan dan projek mega.

Yeah berkata, pelabur yang sudah berada di negara ini boleh terus beroperasi seperti biasa kerana mereka tahu ketidaktentuan politik Malaysia tidak berbahaya, tetapi mereka yang tidak biasa dengan persekitaran Malaysia mungkin berasa tidak selesa dan akan menangguhkan pelaburan mereka.

Shamsuddin berkata, ahli politik tidak boleh mengambil masa terlalu lama untuk menyelesaikan perbezaan mereka.

“Mungkin bercakap lebih senang daripada buat kerana angkubah (politik) yang terlibat, tetapi ia perlu diselesaikan,” katanya kepada FMT.

Katanya, 70% daripada RM70 bilion yang dilaburkan di pasaran tempatan adalah dari sumber Malaysia.

“Penurunan pelaburan asing adalah kerana gabungan pelbagai sebab, dari pandemik Covid-19 hinggalah kelembapan ekonomi global.

“Tetapi ketidaktentuan politik yang berpanjangan ini mungkin menyumbang kepada impak bersihya,” tambah Shamsuddin.

Beliau berkata, perniagaan menunjukkan tanda-tanda pemulihan daripada kesan sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau berharap PKP bersyarat di Lembah Klang dari 15 Oktober hingga 27 Oktober tidak banyak mempengaruhi ekonomi negara. FMT

Ketidaktentuan politik takkan berakhir dengan Anwar jadi PM, kata Mahathir

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker