Strategi banteras jenayah scammer

Penipuan dalam talian (online scams) bukan perkara baharu. Ia telah berlaku di seluruh dunia sejak lama dahulu. Media tempatan telah melaporkan kes-kes penipuan dalam talian ini sejak beberapa tahun lepas.

Anehnya, jenayah kolar putih ini terus terjadi, malah semakin ramai mangsa terjerat dan mengalami kerugian, ada sehingga ratusan ribu ringgit.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini menyatakan bahawa nilai kerugian akibat kes jenayah komersial ini mencecah RM6.2 bilion dengan 25,000 kertas siasatan dibuka dari Januari hingga Disember 2019.

Dalam tempoh yang sama, polis telah menahan 15,000 individu di mana 65 peratus kes jenayah itu membabitkan pinjaman tidak wujud, Macau Scam, Love Scam dan African Scam.

Kenapakah masih ramai rakyat di negara ini yang ditipu? Apakah mereka tidak pernah membaca akhbar dan ambil tahu kes-kes penipuan ini?

Apakah mereka rasa diri mereka kebal kerana mereka orang terpelajar dan pasti tidak boleh tertipu oleh scammer ini? Atau apakah ada sebab-sebab lain yang menyebabkan mereka mempercayai janji-janji scammer ini, iaitu ingin cepat dapat duit dan jadi kaya?

Bagaimana Dato’ Seri ‘Debab’ boleh lompat pagar?

Sasaran

Pada Februari lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad mengesahkan bahawa golongan yang menjadi mangsa scammer ini bukannya calang-calang orang.

Kajian menunjukkan bahawa kumpulan scammer ini arif tentang human nature (sifat kemanusiaan) mangsa sasaran mereka. Mereka tahu apa yang perlu mereka lakukan (apa butang yang perlu ditekan) untuk mempengaruhi tindak tanduk mangsa mereka.

Suruhanjaya Konsumer dan Persaingan Australia menyatakan bahawa scammer ini bijak mendapatkan kepercayaan anda dengan mencadangkan langkah-langkah verifikasi dengan menyebutkan laman web atau nombor telefon yang anda boleh hubungi dan semak sendiri.

Mereka bijak menggunakan emosi untuk mempengaruhi anda dan berupaya mewujudkan satu rasa mendesak supaya anda membuat keputusan tanpa berfikir lebih panjang lagi.

Suruhanjaya itu menyatakan bahawa tidak sukar bagi anda untuk mengenal pasti scammer jika anda sentiasa waspada.

Andainya orang yang menghubungi anda itu tidak pernah anda kenal (tiba-tiba saja dia muncul), atau dia minta anda membayar sejumlah wang dalam satu situasi yang pelik, meminta maklumat peribadi anda seperti akaun bank dan kata-laluan komputer, meminta anda membeli suatu barang atau membuat suatu keputusan dengan segera, menawarkan sesuatu kepada anda dalam keadaan too good to be true (terlalu bagus untuk menjadi kenyataan), misalnya hadiah cabutan, harta pusaka yang tidak dituntut atau peluang pelaburan yang amat menguntungkan – yakinlah dia sebenarnya adalah scammer.

Mengikut data rasmi di negara itu, kerugian mangsa scammer dalam talian sehingga kini sudah melebihi A$116 juta (RM340 juta), melibatkan 147,269 kes yang dilaporkan. Daripada sepuluh jenis scam yang biasa dilaporkan, dua jenis paling tinggi mengikut kerugian mangsa adalah scam pelaburan yang melebihi A$40 juta dan scam percintaan, hampir A$30 juta.

Pada Jun lalu, seorang pesara guru wanita di Limbang, Sarawak kerugian RM516,457 setelah ditipu scammer yang menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia (TM). Mengikut Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (kes menipu). Kes baharu di Limbang ini mengingatkan saya kepada kes yang berlaku di Pontian, Johor pada Mac 2018.

Dalam kes itu, seorang guru berusia 60-an kerugian RM2.9 juta. Mengikut Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh, mangsa dipercayai ditipu menerusi panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank.

Dalam satu kes lain yang melibatkan seorang guru di Klang, Selangor, mangsa iaitu guru wanita berusia 49 tahun, kerugian hampir RM1.14 juta selepas terpedaya dengan panggilan seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

DAP Terus Menipu Rakyat Tanpa Rasa Malu

Wang haram

Pada awal Oktober ini, seorang pengurus agensi perbankan di Petaling Jaya, Selangor kerugian hampir RM2 juta setelah ditipu scammer.

Bank Negara Malaysia menasihatkan rakyat negara ini supaya sentiasa waspada tentang scam berikut – penipuan urus niaga kad kredit, helah panggilan telefon, penipuan pinjaman bank, penipuan ah long, skim penipuan ponzi, skim cepat kaya, dan penipuan black money.

Menurut Pakar Kriminologi, Profesor Dr Geshina Ayu Mat Saat, antara punca utama orang ramai mudah ditipu scammer adalah ‘sikap tidak peduli’ untuk membaca, mempelajari dan mengetahui ‘kehalusan pancingan scammer’ sewaktu menjalankan penipuan mereka.Selain faktor kebijaksanaan (kelicikan) scammer dan ketidakpedulian mangsa, ada faktor ketiga yang menjadikan sukar bagi pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah kolar putih ini iaitu penglibatan beberapa individu dalam kalangan pegawai penguat kuasa dalam aktiviti jenayah ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini telah menahan 10 individu termasuk lapan pegawai kanan PDRM berhubung siasatan kes kegiatan pengubahan wang haram hasil aktiviti judi dalam talian dan Macau Scam. Pegawai berkenaan ditahan kerana dipercayai melindungi sindiket tersebut selama ini.

Kita yakin bahawa pada masa ini pihak berkuasa sudah punyai cukup undang-undang untuk bertindak ke atas scammer ini.

Yang menjadi masalah adalah tahap kesedaran rakyat mengenainya. Hendaknya kita boleh ambil pengajaran daripada usaha gigih Kementerian Kesihatan menyampaikan maklumat serta kesedaran tentang bahaya jangkitan Covid-19 kepada rakyat jelata serta cara membendungnya.

Bertolak dari situ, hendaknya sebagai langkah pertama, pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia dan PDRM serta media tempatan dapat bergabung tenaga mengadakan program jelajah berkala untuk menyedarkan rakyat tentang bahaya scammer ini.

Selepas itu, sebagai langkah kedua, sebuah unit khas yang mengandungi wakil pelbagai agensi penguat kuasa dapat diwujudkan untuk membanteras jenayah kolar putih ini, seiring satu hotline disediakan bagi orang ramai termasuk mangsa menghubunginya 24 jam setiap hari jika perlu.

Agensi ini mesti dilengkapkan dengan kuasa mengesan, menjejaki dan merampas wang haram hasil scam ini untuk dikembalikan kepada mangsa.

*Profesor Datuk Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan dan Pakar Undang-undang

Akuan bersumpah dakwa Maszlee sokong Anwar tular

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker