Seorang pegawai Penjara Seberang Perai positif COVID-19

Share

SEBERANG PRAI: Seorang pegawai di Penjara Seberang Perai di Jawi Pulau Pinang dilaporkan positif COVID-19 semalam (Sabtu, 17 Oktober).

Pengarah Penjara Pulau Pinang, Roslan Mohamed berkata, ia adalah kes pertama membabitkan pegawainya selepas 53 banduan dipenjara itu positif COVID-19.

Menurutnya, sebaik keputusan ujian saringan diterima, pihak petugas kesihatan telah membuat saringan terhadap kontak rapat pegawai terbabit dan pihaknya masih menunggu keputusan mereka.

“Pihak kami sentiasa memantau perkembangan terkini dengan teliti dan setakat ini kami belum tahu bagaimana pegawai berkenaan mendapat jangkitan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

“Kesemua mereka sebelum ini ditempatkan di blok bersama penghuni baharu yang juga positif COVID-19 sebelum ini,” ujarnya.

Bagaimanapun setakat ini, tiada jangkitan dalam kalangan penghuni lama yang tinggal di blok berlainan dengan kes yang dilaporkan positif semalam.

Sehingga Sabtu, sebanyak 54 kes dilaporkan di Penjara Seberang Perai di Jawi.

Sementara itu, Roslan berkata, semua 160 kes positif baharu di Penjara Reman Pulau Pinang membabitkan tahanan.

Beliau berkata, walaupun berlaku peningkatan ketara di penjara berkenaan, prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan untuk menangani situasi berkenaan.

Sehingga Sabtu, Pulau Pinang mempunyai dua kluster utama iaitu Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai menjadikan kedua-duanya adalah penjara ketiga dan keempat di negara ini yang dijangkiti COVID-19 selepas Tawau di Sabah dan Alor Star di Kedah.

Kluster Penjara Reman Pulau Pinang mencatat 160 kes aktif baHAru semalam menjadikan jumlah kes COVID-19 positif menjadi 377 dengan satu kematian.

Penjara tersebut kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes dalam kalangan banduan di penjara itu.

Sehingga hari ini, Pulau Pinang telah mencatatkan sebanyak 439 kes aktif dengan tiga kematian-Awani

Covid-19: 2,000 banduan Penjara Seberang Perai jalani ujian saringan

 

Leave a Reply