New Zealand catat jangkitan baharu COVID-19

WELLINGTON: New Zealand merekodkan jangkitan baharu COVID-19 hari ini, dua minggu selepas Perdana Menteri, Jacinda Ardern mengisytiharkan negara itu berjaya menangani penularan virus sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Ashley Bloomfield, berkata kes terbaru itu membabitkan seorang pekerja di pelabuhan yang disahkan positif, semalam.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Parti Buruh Ardern meraih kemenangan pilihan raya, yang dilihat dipengaruhi dengan usaha kerajaan pimpinannya menangani pandemik berkenaan.



Ardern berkempen dengan menceritakan kejayaan kerajaan di bawah pemerintahannya menangani penyebaran virus itu di New Zealand yang setakat ini hanya meragut 25 nyawa dalam populasi seramai lima juta penduduk.

New Zealand mengisytiharkan berjaya menamatkan penyebaran COVID-19 dalam kalangan penduduknya walaupun kluster baharu dikenal pasti di Auckland pada Ogos lalu hingga memaksa negara itu mengenakan sekatan pergerakan selama beberapa minggu.

Sementara itu, parti pembangkang menyifatkan kemenangan diraih Ardern itu menjadi batu aras yang bermakna beliau tidak lagi mempunyai alasan untuk gagal menunaikan janjinya.

Ardern memperoleh majoriti bersejarah iaitu yang pertama sejak New Zealand menggunakan pungutan suara pada tahun 1996 yang bermaksud beliau dapat melaksanakan dasar kerajaan tanpa sokongan parti kecil.



Ardern dikritik pada penggal pertamanya kerana tidak menunaikan janji penting seperti melindungi alam sekitar dan mengurangkan kemiskinan.

Pemimpin pembangkang, Judith Collins berkata, kejayaan Ardern dalam pilihan raya itu menjadi isyarat beliau tidak boleh menyalahkan rakan sekutu kerana mengecewakan agenda progresifnya.

“Kerajaan mendapat mandat untuk melakukan semua perkara yang sudah dijanjikan, maka mereka tidak boleh menyalahkan orang lain jika tidak melaksanakannya,” katanya. – AFP/BH

Jacinda Ardern menang besar



 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker