Layan Umno rakan sebenar, bukannya penyeri PN, Khaled beritahu Muhyiddin

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin menggesa Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin membuat “keputusan” betul untuk mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya kerana partinya mahu dihormati sebagai rakan kongsi sebenar dalam pentadbiran sedia ada.

Katanya, keutamaan Umno ialah terus mempertahankan kerajaan yang sama-sama dibentuknya, walaupun ia mempunyai pilihan lain, iaitu menumbangkannya atau mempercepatkan pilihan raya umum.

“Tetapi, itu (PRU) adalah pilihan terakhir Umno kerana kedudukan pandemik yang melanda negara. Umno tidak akan memperjudikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umum demi suatu pilihan raya.

“Keutamaan Umno ialah membentuk kerajaan yang benar-benar boleh mengurus negara yang berada dalam krisis. Dan untuk itu, Umno mahu ia dihormati sebagai rakan sebenar dalam kerjasama politik ini dan bukannya sekadar penyeri kepada PN.



“Semua pilihan di tangan perdana menteri. Beliau memahami apa yang Umno kehendaki dan beliau juga tahu apa yang Umno mampu lakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas menteri besar Johor itu menyifatkan hubungan Umno dan PPBM sebagai “tiada kepercayaan, hanya rasa saling hormat” memandangkan parti pimpinan Muhyiddin itu ialah parti serpihan Umno.

Bagaimanapun, katanya, Umno bertindak menyokong Muhyiddin menerajui negara ketika pergolakan politik pada Februari lalu kerana mahu memberi lonjakan baru kepada kepimpinan negara.

“Setelah 7 bulan, kegelisahan Umno dengan PPBM semakin menyerlah. Umum mengetahui kenapa Umno bukan saja tidak mempercayai PPBM, malah ‘mutual respect’ yang tersisa juga semakin menipis.



“Umno akan sentiasa menyokong keputusan baik. Jadi, pamerkanlah kepimpinan ikhlas, yang boleh menukar ‘mutual respect’ menjadi ‘trust’ sebenar kerana kita semua tahu ‘trust is earned, not given’.”

Selasa lalu, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan mengumumkan parti itu mempertimbang menarik diri daripada menyokong PN dan menetapkan syarat baru kepada kerajaan untuk meneruskan kerjasama politik.

Pengumuman itu menyusul dakwaan Presiden PKR, Anwar Ibrahim mempunyai “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru, majoritinya wakil rakyat Melayu dan Islam. FMT

[VIDEO] Menyamar Sebagai ‘Pegawai Kastam’, Lihat Polis Ini Layan Scammer Sampai Tutup Call



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker