Hajat adakan majlis kahwin dihadiri 10,000 tetamu tidak kesampaian

NEW YORK – Pihak berkuasa New York memerintahkan supaya sebuah majlis perkahwinan yang dijangka dihadiri lebih 10,000 tetamu dibatalkan kerana melanggar peraturan bagi memerangi penularan koronavirus, kata Gabenor New York Andrew Cuomo kelmarin.

Pejabat Syerif Rockland County memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai majlis perkahwinan meriah itu yang sepatutnya berlangsung hari ini di Williamsburg, Brooklyn.

“Kami menerima maklumat bahawa hal itu akan terjadi, melakukan siasatan dan mendapati ia benar. Ada majlis perkahwinan besar-besaran sedang direncanakan sekali gus melanggar peraturan perhimpunan,” kata Cuomo pada satu sidang akhbar.

Menurut media tempatan, majlis perkahwinan itu melibatkan masyarakat Yahudi Ortodoks.

Peraturan pencegahan koronavirus di New York mengehadkan perhimpunan sosial kepada tidak lebih 50 orang, manakala acara keagamaan di gereja atau kuil melibatkan 33 peratus kapasiti sebenar.

Elizabeth Garvey yang merupakan penasihat Cuomo berkata, lebih 10,000 orang merancang untuk menghadiri majlis perkahwinan itu.

“Anda memang boleh berkahwin, tiada masalah dengan itu. Cumanya, anda tidak boleh mendapatkan seribu orang menghadiri majlis perkahwinan anda, inikan pula 10,000.

“Lagipun, pengakhirannya sama sahaja anda akan bergelar suami isteri selepas itu. Anda juga dapat menjimatkan kos kerana ia lebih murah!,” kata Cuomo.

New York pernah menjadi pusat penyebaran wabak Covid-19 di Amerika Syarikat pada musim bunga tahun ini, manakala kota raya itu menyaksikan lebih 23, 800 kematian pesakit koronavirus.

Pada minggu lalu, Cuomo mengarahkan perniagaan kurang penting di kota raya itu ditutup begitu juga sekolah dalam usaha menyekat peningkatan jangkitan Covid-19. – AFP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker