Dikecewa tujuh lelaki

Gaji tinggi selain ada ciri wanita yang up to date menjadikan Normah, 38, (bukan nama sebenar) yang juga eksekutif di sebuah syarikat swasta di Klang, Selangor menjadi buruan lelaki.

“Sejak tiga tahun lalu, saya sudah berkenalan dengan tujuh lelaki namun semuanya bukan mahukan saya kerana ‘saya’.

“Sebaliknya, mereka hanya mahu menumpang dengan ‘kestabilan kerjaya’ serta ciri-ciri yang ada pada saya,” katanya.

Kerana itu, Normah mengatakan dia masih membujang walaupun berusaha mencari jodoh sesuai.



“Saya mendaftar di laman cari jodoh tempatan tiga tahun lalu dan turut menyerahkan profil diri.

“Saya sanggup langgan pakej tertentu secara bulanan membolehkan saya membaca dan meninggalkan mesej kepada calon berpotensi.

“Hasilnya, saya didekati lelaki. Saya berpeluang mendampingi mereka, namun semuanya dilihat lebih ‘berminat’ dengan wang serta harta benda saya,” katanya.

Menurut Normah, semua lelaki terbabit bukan dalam kalangan bekerjaya profesional, namun dia tidak kisah kerana pentingkan budi pekerti selain kejujuran.



“Ada yang baharu kenal tidak sampai dua bulan sudah pandai meminta saya untuk membuat pinjaman kereta dan mendakwa akan membayarnya semula secara bulanan.

“Ada juga yang kerap mengajak saya makan di restoran mewah, namun liat untuk membayar. Sempat juga lelaki itu meminta saya membelikannya jam berjenama,” katanya yang mendedahkan pelbagai kerenah lelaki ‘tidak sihat’ yang mahu mendekatinya.

Dia terkilan kerana lelaki terbabit turut ‘menggula-gulakannya’ setiap kali meminta dibelikan sesuatu seperti dijanjikan kehidupan bahagia selepas berkahwin.

Normah mengatakan, dia akhirnya memutuskan untuk mengakhiri persahabatan kerana tidak mahu terasa digunakan.



“Bagaimanapun, saya percaya satu hari nanti, saya pasti mendapat jodoh yang baik sama ada melalui carian jodoh atas talian atau lain-lain,” katanya.

Pilih rupa bukan cinta

“Saya berkenalan dengan 10 lelaki melalui laman cari jodoh tempatan sejak lima tahun lalu namun belum mendapat jodoh kerana semuanya memilih rupa,” kata wanita mahu dikenali sebagai Shamsiah, 31.

Shamsiah yang bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai kerani berkata, berdasarkan profil semua lelaki terbabit, mereka tidak kisah berkaitan paras rupa sebaliknya keikhlasan serta budi pekerti yang dicari.



“Bagaimanapun, apabila bertemu buat kali pertama, semuanya mula kelihatan serba tidak kena.

“Ada yang berlalu pergi kurang daripada lima minit bertemu, paling lama berbual dengan saya ialah kira-kira sejam. Tidak kurang juga ada yang langsung tidak kunjung tiba ,” katanya.

Menurut Shamsiah yang masih bujang dan tinggal di Keramat, dia agak kecil hati dengan layanan itu, namun reda kerana beranggapan masih belum sampai jodohnya.

“Mungkin paras rupa saya kurang menarik di mata mereka. Bagaimanapun, saya tetap yakin, satu hari nanti, saya akan dipertemukan dengan jodoh.



“Buat masa ini, saya akan terus mencari lelaki sesuai sama ada melalui laman cari jodoh, rakan atau saudara.

“Bukan terdesak sebaliknya ia hanya usaha untuk mencari jodoh,” katanya yang juga anak keempat daripada tujuh beradik.

180,000 wanita daftar TillJannah cari pasangan

Kira-kira 180,000 wanita mendaftar di portal cari jodoh TillJannah Sdn Bhd sejak portal ini ditubuhkan pada 2016, namun hanya 1,000 yang sudah melangsungkan perkahwinan gara-gara tidak mahu bersikap seolah-olah ‘perigi cari timba’.



Pada masa sama, walaupun jumlah itu besar, ramai yang tidak aktif dan hanya mendaftar sebelum terus senyap.

Sikap terbabit menyebabkan wanita berkaitan sukar untuk bertemu jodoh sesuai memandangkan mereka kurang ‘menampilkan’ diri.

Ketua Pegawai Eksekutif TillJannah Sdn Bhd Khairul Fadhli Abu Samah berkata, tidak semua bersikap sedemikian namun ramai yang tidak mahu ‘mendekati’ sebaliknya menunggu ‘didekati’.

“Dalam kalangan yang sudah bernikah pula, ada yang mengirim lebih 100 mesej kepada lelaki diminati sebelum bertemu buat kali pertama, seterusnya ke fasa berikutnya.

“Berdasarkan data kami, semua pasangan yang menjalin hubungan serius selepas berkenalan berkahwin kurang enam bulan kemudian,” katanya.

Katanya, keahlian TillJannah Sdn Bhd membabitkan 180,000 wanita dan 120,000 lelaki berusia 20-an hingga 40-an.

Katanya, pihaknya menggalakkan peserta untuk mengemas kini profil masing-masing sekerap mungkin kerana ia demi kebaikan masing-masing.

“Kami tidak ada data berkaitan jenis pekerjaan, latar belakang atau pendapatan yang menjadi minat utama individu yang ingin berkenalan.

“Bagaimanapun, ia lebih kepada rasa serasi pasangan sebelum membawa hubungan ke fasa seterusnya,” katanya. HM

Usaha pasang poster cari jodoh berhasil akhirnya dan Aziro selamat bergelar suami

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker