Sumareh ikrar beri terbaik kepada Police Tero

Share

PEMAIN naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh yang kini beraksi bersama pasukan Liga Thai 1, Police Tero FC berikrar untuk memberikan aksi terbaiknya untuk membantu kelab itu mencipta kejayaan.

Pemain berusia 26 tahun itu memulakan latihan pertama bersama kelab berkenaan di Stadium Police Tero di Lak Si, pada Rabu selepas tamat menjalani kuarantin wajib 14 hari di lokasi alternatif kuarantin (ASQ) di Bangkok.

Sumareh yang telah mengesahkan kontrak bersama Police Tero FC pada 7 September lepas tiba di Bangkok pada 29 September selepas diberikan visa untuk terbang ke Thailand.

Pemain sayap itu menyertai seorang lagi pemain negara, Dominic Tan yang mengikat kontrak dua tahun bersama Police Tero FC pada Julai tahun lepas.

Sumareh kini sah milik Police Tero FC

“Saya bertemu dengan orang dikenali. Saya tidak berasa asing di sini. Dominic memperkenalkan saya kepada semua pemain. Dia membantu saya dan memudahkan saya bergaul dengan rakan sepasukan.

“Saya mungkin tidak berada di sini sehingga tamat musim namun selagi saya di sini, saya akan memberikan yang terbaik untuk menang dalam perlawanan. Saya tidak akan mengecewakan mereka…Saya berharap dapat beraksi dalam perlawanan. Saya mahu tinggalkan tanda diri saya di sini.

“Sama ada saya yang menjaringkan gol atau membantu, yang penting pasukan mengutip tiga mata,” katanya ketika ditemui Bernama selepas latihan pertamanya.

Dalam pada itu, Sumareh berkata, beliau memilih untuk menyertai Police Tero FC berikutan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah membatalkan jendela perpindahan pada pertengahan musim susulan penularan koronavirus (Covid-19).

“Saya perlu menunggu sehingga tahun depan untuk bermain. Memandangkan saya mahu terus bermain bola sepak dan jendela perpindahan di Thailand dibuka, maka saya datang untuk mendapatkan pendedahan dan meneroka sesuatu yang baharu di peringkat lebih tinggi.

“Police Tero menunjukkan minat yang tinggi terhadap saya. Mereka berusaha keras. Mereka menyediakan semua dokumen diperlukan untuk membolehkan saya ke Thailand dari Malaysia.

“Saya terhutang budi dengan mereka. Saya puas hati kerana memilih Police Tero dan saya gembira kerana membuat keputusan yang betul,” katanya. – Bernama

Selangor tawar gaji RM70,482 buat Sumareh

Leave a Reply