Suami isteri berdepan lapan pertuduhan salah guna kuasa, subahat

 

KOTA KINABALU – Sepasang suami isteri yang merupakan penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas lapan pertuduhan salah guna kuasa dan bersubahat.

Ismail Tahir, 47, seorang guru, dan Hanidah Md Ja’afar, 44, seorang pembantu akauntan di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di sini antara jam 8 pagi hingga jam 5 petang sekitar tahun 2014 dan 2015.

Hanidah berdepan enam pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk kepentingan sendiri dengan bertindak mengubah nombor akaun sebenar syarikat penuntut kepada akaun milik peribadi dan syarikat ahli keluarganya membabitkan tuntutan sebanyak RM118,765.79.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mengarahkan pegawai penyedia dokumen tuntutan mengubah nombor akaun sebenar penuntut kepada nombor akaun miliknya bagi tuntutan sebanyak RM6,850.50 pada 30 Jun 2015.

Walau dua MP PKR lompat, PN masih tak cukup nombor – Anwar

Pertuduhan kedua pula menyebut bahawa dia melakukan kesalahan sama iaitu mengubah nombor akaun sebenar penuntut kepada akaun milik syarikat adik lelaki suaminya bagi tuntutan sebanyak RM11,900 pada 18 September 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, keempat, kelima dan keenam, Hanidah didakwa melakukan kesalahan sama bagi tuntutan sebanyak RM8,900; RM5,003.29; RM39,468 serta RM46,644 dengan mengubah nombor akaun sebenar penuntut kepada akaun milik syarikat anak saudaranya dan adik lelaki suaminya antara September hingga Oktober 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Ismail pula berdepan dua pertuduhan bersubahat dengan isterinya mengikut Seksyen 28(1)(b) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 23(1) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Mahkamah membenarkan Hanidah diikat jamin RM15,000, manakala Ismail sebanyak RM10,000 dan pasangan itu diarah melaporkan diri dua kali sebulan di pejabat SPRM Sabah.

Abu Bakar menetapkan 28 April untuk sebutan semula kes. – Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker