Khaled: Tuntutan singkir 4 menteri dari Umno tak dibincang

Share

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin menafikan parti itu memutuskan antara syarat baru bagi meneruskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) adalah pengguguran empat menteri daripada parti itu.

“Tak ada bincang,” katanya ringkas kepada Malaysiakini berhubung perkara itu.

Khaled berkata demikian ketika diminta mengesahkan laporan bahawa pengguguran itu antara beberapa syarat yang telah disampaikan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menurut portal Suara TV pada 15 Oktober, permintaan itu disampaikan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dan Bendahari BN Tengku Adnan Tengku Mansor sehari sebelumnya.

Menurut laporan itu lagi, biro politk Umno memutuskan pelantikan ahli Kabinet di kalangan Umno perlu mengambil kira hirarki dalam parti itu.

Antara menteri yang tiada jawatan dalam Umno ialah Menteri Luar Hishammuddin Hussein dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, Ahmad Maslan ketika ditanya tentang perkara itu hanya berkata dia tidak pernah menyebut tentang perkara itu.

“Tiada perincian rundingan yang saya ada sebut dalam mana-mana kenyataan,” katanya.

Jawapan sama diberikan berhubung laporan Umno turut menuntut jawatan timbalan perdana menteri, seperti yang dibangkitkan ahli Majlis Tertinggi Tajuddin Abdul Rahman.

Mesyuarat biro politik MT Umno pada 13 Oktober lalu memutuskan untuk menimbang menarik balik sokongan kepada PN yang boleh membawa kepada kejatuhan pentadbiran sekarang.

Ia di tengah-tengah usaha Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan baru yang dikatakan turut mendapat sokongan sejumlah anggota Parlimen daripada Umno.

Muhyiddin hanya memiliki 113 daripada 222 sokongan ahli Parlimen. Kehilangan sokongan tiga kerusi sudah cukup untuk menjatuhkan pentadbirannya. Mk

PPBM dulu curi ahli parlimen, sekarang umpan parti komponen – Khaled

Leave a Reply