Terlalu banyak dokumen, kes terhadap Guan Eng, isteri dan Phang ditangguhkan

Perbicaraan rasuah bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dan isteri, Betty Chew, serta rakannya, Phang Li Koon, yang dituduh rasuah berkait projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta, ditangguhkan selama 2 bulan.

Mahkamah Sesyen mengumumkan penangguhan itu selepas pasukan pembelaan memaklumkan pendakwa raya menyerahkan terlalu banyak dokumen kepada mereka. Menurut RSN Rayer, ada set dokumen yang boleh diserahkan kepada mereka.

Timbalan Pendakwa Raya, Selvaranjini Selvaraja, juga memohon masa untuk menyerahkan dokumen berkenaan kepada pasukan pembelaan.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid membenarkan permohonan mereka lalu menetapkan sebutan kes pada 18 Dis.



Pada 11 Ogos, Lim, Chew, dan Phang dituduh atas kesalahan berkait wang yang merupakan hasil daripada aktiviti haram yang dimasukkan ke akaun bank milik Chew, didakwa untuk memastikan suatu projek asrama dianugerahkan kepada sebuah syarikat.

Mereka dituduh mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla) dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Lim dituduh menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri dan pengerusi lembaga tawaran Penang Development Corporation (PDC) untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009, bagi Chew dengan cara mengambil tindakan memastikan Magnificent Emblem Sdn Bhd diitawarkan projek itu di Juru dan Batu Kawan.

Kesalahan itu didakwa berlaku antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016. Lim berdepan penjara tidak melebihi 20 tahun, dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.



Phang, yang merupakan pengarah di Excel Property Management and Consultancy, dituduh bersubahan dalam pelakuan Lim mengikut Seksyen 28(1) Akta SPRM.

Chew dituduh melibatkan diri dalam pengubahan wang, iaitu menerima wang berjumlah RM372,009 hasil daripada aktiviti haram yang dimasukkan ke akaun bank miliknya di Taman Melaka Raya, Melaka antara 7 Oktober 2013 dan 3 Mac 2016.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Amla dan berdepan denda tidak melebihi RM5 juta, atau penjara tidak melebihi 5 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rayer, Gobind Singh Deo, dan V Vemal Arasan tampil mewakili Lim. Ramkarpal Singh, Sangeet Kaur Deo, dan Lee Khai mewakili Chew, manakala V Sithambaram dan Rueban Kumar mewakili Phang.



Pasukan pendakwaan diketuai Ahmad Akram Gharib, dibantu Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, Roslan Mat Nor dan Francine Cheryl Rajendram.

Lim, Chew, dan Phang dibenarkan tidak hadir ke mahkamah hari ini. FMT

Guan Eng, isteri didakwa salah guna kuasa, ubah wang berkait projek RM11.6 juta



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker