Ketidaktentuan politik takkan berakhir dengan Anwar jadi PM, kata Mahathir

Dr Mahathir Mohamad yang meragui Anwar Ibrahim mempunyai majoriti mencukupi untuk menjadi perdana menteri, berkata negara akan terus berada dalam ketidaktentuan politik walaupun ketua pembangkang itu mendapat sokongan ahli Parlimen bagi menubuhkan kerajaan baru.

Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong Selasa lalu untuk membuktikan beliau mempunyai majoriti mencukupi bagi membentuk kerajaan baru.

Mahathir berkata, walaupun dengan kepimpinan baru, Malaysia tetap mudah terdedah kepada peralihan pakatan politik, khasnya oleh Umno.

“Jadi, situasinya sangat tidak menentu…bagaimanapun, akan ada situasi di mana tiada kerajaan dalam negara ini,” katanya kepada Reuters dalam wawancara di pejabatnya di sini.



Mahathir, dengan sokongan Anwar, membawa pembangkang mencapai kemenangan bersejarah dalam Pilihan Raya Umum 2018, sekaligus menamatkan pemerintahan Umno selama 6 dekad dengan kempen menentang rasuah.

Tetapi, kerajaan pimpinan Mahathir tumbang pada Februari lalu, yang memberi laluan kepada Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai perdana menteri pada Mac lalu dengan sokongan Umno.

Kerajaan pimpinan Muhyiddin yang berusia 7 bulan mampu bertahan dengan majoriti 2 kerusi dalam Parlimen yang mempunyai 222 kerusi.

Mahathir bagaimanapun berkata, beliau tidak menyokong Anwar atau Muhyiddin.



Veteran politik berusia 94 tahun itu bersama 5 ahli Parlimen lain daripada parti barunya, Pejuang masing-masing menyerahkan usul tidak percaya terhadap kepimpinan Muhyiddin pada Jumaat.

Mahathir menolak dakwaan Anwar mempunyai majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baru.

“Inilah perkara yang Anwar suka cakap…sudah 3 kali dia dakwa mempunyai sokongan (mencukupi) untuk menjadi perdana menteri, tetapi akhirnya dia didapati tidak mempunyai sokongan itu,” kata ahli Parlimen Langkawi itu.

Pejabat Anwar tidak memberi respons segera terhadap permintaan untuk komen.



Jika Anwar berjaya menjadi perdana menteri, ia akan menjadi kemuncak usahanya selama 22 tahun, termasuk hampir 10 tahun dipenjarakan atas tuduhan meliwat yang dinafikannya. Ia juga bermakna Malaysia akan mempunyai perdana menteri ke-3 tahun ini. FMT

Langkah Anwar kalau gagal macam ‘bunuh diri’



Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker