Giliran Amiruddin kemuka usul tidak percaya terhadap Muhyiddin di Dewan Rakyat

Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah bertindak menghantar usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk sesi persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula pada 2 September depan.

Amiruddin berkata, usaha yang dibuatnya ini adalah untuk menjunjung prinsip mengembalikan mandat rakyat pada pilihan raya umum ke-14 dan bersolidariti terhadap kerajaan tidak kompeten dan stabil, yang menurutnya “bagai telur di hujung tanduk”.

Surat berkenaan ditujukan kepada Yang Di Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Surat bertarikh 15 Oktober yang dimuat naik di laman sosialnya, Amiruddin berkata, ia dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama-sama Peraturan Mesyuarat 27(3) dalam Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Bahawa dewan ini memberi kebenaran kepada ahli Yang Berhormat bagi Kawasan Kubang Pasu untuk mencadangkan suatu usul, iaitu menurut Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama dengan Peraturan Mesyuarat 27(3).

“Dalam peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai ahli Parlimen Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat,” katanya.

Terdahulu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad turut mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Pada 25 Sept lepas, ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menulis surat kepada Azhar meminta “jaminan” supaya usul Mahathir, yang merupakan ahli Parlimen Langkawi, dibangkitkan dalam sidang dewan akan datang.

Azhar bagaimanapun meminta Tengku Razaleigh supaya berunding dengan Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan bagi membolehkan usul itu dibentang dan dibahaskan. FMT

‘Muhyiddin akan tewas pada pembentangan bajet jika Anwar ada majoriti’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker