Anwar tiba di Bukit Aman berkait senarai nama sokongan ahli Parlimen

Share

Presiden PKR, Anwar Ibrahim tiba di Bukit Aman petang ini untuk memberi keterangan berhubung kes penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk membentuk kerajaan baru.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid kepada media.

Ketua pembangkang itu bagaimanapun tidak melalui pintu utama Bukit Aman.

Isnin lalu, polis dilapor memanggil Anwar memberi keterangan berhubung kes itu kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas.

Polis pada mulanya memanggil ahli Parlimen Port Dickson memberi keterangan pada 11 pagi Isnin lalu, tetapi setiausahanya memaklumkan Anwar hanya dapat hadir pada 9 pagi Selasa.

Oleh itu, polis menangguhkan janji temu itu sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dilaporkan berkata, 113 laporan dibuat terhadap Anwar susulan penyebaran senarai nama itu.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Selasa lalu, Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara bagi menyampaikan bukti beliau mempunyai majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baru.

Beliau pada sidang media selepas itu berkata, Agong akan menemui beberapa pemimpin parti politik dalam beberapa hari selepas beliau menyerahkan dokumen yang terdiri daripada akuan bersumpah dan pengesahan ketua parti kepada Sultan Abdullah. FMT

Dua harimau ‘tua’ di puncak bukit PH.

Leave a Reply