PKPB Sabah guna SOP yang dikeluarkan MKN

Share

KOTA KINABALU – Pengusaha atau peniaga sektor ekonomi, industri dan perniagaan kini tidak perlu memohon kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah koronavirus (Covid-19) untuk beroperasi.

Semua pengusaha sebaliknya hanya diminta mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri banyak menerima pertanyaan daripada orang awam kerana terdapat kekeliruan berhubung kebenaran beroperasi bagi semua sektor ekonomi, industri dan perniagaan.

Arahan tutup masjid di Sabah atas nasihat MKN

“Kekeliruan ini timbul kerana SOP PKPB yang dikeluarkan bagi daerah-daerah dalam zon merah sebelum ini hanya membenarkan perkhidmatan perlu (essential service) sahaja.

“Saya ingin menjelaskan bahawa SOP yang digunakan oleh seluruh Sabah pada ketika ini adalah berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh MKN bertarikh 14 Oktober 2020. SOP sebelum ini tidak terpakai kecuali SOP Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedia ada untuk 10 lokaliti yang sedang melaksanakan PKPD,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Masidi berkata, selaras dengan arahan sebelum ini yang membabitkan PKPB di 11 daerah adalah terbatal dengan sendirinya.

“Saya ingin memaklumkan bahawa pengusaha atau peniaga dalam sektor ekonomi, industri dan perniagaan tidak perlu lagi memohon kebenaran kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah Covid19 untuk kebenaran beroperasi.

“Selaras dengan pelaksanaan PKPB di seluruh Sabah yang bermula Selasa lalu, maka dengan ini semua arahan sebelum ini yang melibatkan PKPB di 11 daerah adalah dengan sendirinya terbatal,” katanya.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Kewangan II turut menjelaskan bahawa ada beberapa aktiviti tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKPB.

“Antaranya ialah pasar malam, pasar tani dan tamu, pusat premis dan kelab hiburan termasuk kelab malam, pub, panggung wayang dan aktiviti perjudian.

“Selain itu, rumah urut, pusat refleksologi, rawatan muka dan perkhidmatan penjagaan kuku (manicure, pedicure),” katanya.

MKN syor perketat PKP: Banyak lagi tutup, had waktu operasi

Leave a Reply