PKPB: Hanya enam orang dibenar solat berjemaah

Share

 

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan jumlah individu yang dibenarkan untuk mendirikan solat fardu berjemaah di seluruh negeri ini adalah tidak melebihi enam orang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, jumlah itu adalah termasuk muazzin dan imam yang akan mengetuai solat fardu berjemaah di setiap masjid atau surau terlibat.

Beliau berkata, pelaksanaan itu adalah berdasarkan ketetapan terkini Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam pelaksanaan PKPB di Selangor bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

Imam terima puluhan panggilan mahu sertai solat berjemaah

“Adalah diingatkan bahawa Pentadbir Masjid dan Surau boleh menjadualkan mana-mana pegawai atau ahli jawatankuasa untuk bertugas dan ahli kariah tempatan terpilih untuk hadir berjemaah.

“Semua pihak yang hadir hendaklah mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh JAIS,” katanya menerusi satu surat pemakluman kepada jawatankuasa masjid dan surau seluruh negeri ini, hari ini.

Sebelum ini, JAIS mengumumkan akan menangguhkan solat Jumaat, solat lima waktu berjemaah dan lain-lain aktiviti pengimarahan di seluruh masjid serta surau di Selangor dalam tempoh PKPB ini.

Katanya, penangguhan itu akan membabitkan 425 masjid, 278 surau kebenaran solat Jumaat dan 1,747 surau.

Selain itu, majlis akad nikah dan operasi sekolah-sekolah di bawah kelolaan jabatan itu turut ditangguhkan susulan pelaksanaan PKPB tersebut.

Solat jemaah ketika wabak

Leave a Reply