COVID-19: 4 pejabat EXCO Terengganu di Wisma Darul Iman ditutup 14 hari

 

KUALA TERENGGANU: Empat pejabat EXCO Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, ditutup selama 14 hari bermula semalam hingga 30 Januari ini susulan terdapat lima kes positif COVID-19 di bangunan pentadbiran kerajaan negeri itu.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, berkata penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan dalam usaha mengekang penularan wabak di kawasan berkenaan.

Empat pejabat ditutup ialah Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar; Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Dakwah dan Penerangan; Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar; serta Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi.

“Penutupan itu perlu dilakukan kerana terdapat lima kes positif COVID-19 dalam kalangan pekerja Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) di Wisma Darul Iman baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Nor Azimi berkata hasil siasatan mendapati kes-kes positif berkenaan bergaul rapat dengan pekerja di pejabat empat EXCO berkenaan.

Penutupan sementara itu dijalankan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit dan membolehkan proses disinfeksi serta sanitasi dijalankan bagi mengelak penularan, katanya. – BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker