Fenomena gadis gitar berbaju kurung di pentas AJL

Fenomena gadis gitar berbaju kurung di pentas AJL

Kejayaan single Tolong Ingatkan Aku ciptaan dan dendangan penyanyi yang masih dianggap ‘hijau’ ketika itu, Ana Raffali, mengungguli gelaran Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-25 pada 2011, terus dikenang.

Masakan tidak, Ana atau nama sebenar, Ana Nur Hidayah Mohd Raffali yang ketika itu berusia 25 tahun, menewaskan nama besar dalam industri muzik seperti Yuna, Faizal Tahir, Hafiz Suip, kumpulan Meet Uncle Hussain, Adira, Black, Hujan, Bunkface dan Stacy, yang bersaing di pentas sama.

Kejayaan Ana terpahat antara detik bersejarah AJL, apatah lagi bakat baharu yang memiliki kebolehan mencipta dan mendendangkan sendiri karya, diangkat sebagai juara, lantas dikenang sampai hari ini.

Mengimbau detik kemenangan pada malam itu, Ana, 38, beristighfar sebaik namanya diumum sebagai pemenang Juara Lagu pada AJL 25.

“Saya beristighfar sebaik nama diumum sebagai pemenang Juara Lagu… Itu kata-kata pertama yang terpacul daripada mulut saya. Saya anggap suatu kejutan apabila nama diumumkan. Apabila ditonton semula ulang tayang detik kemenangan setiap kali musim AJL tiba, saya boleh nampak muka saya terkejut.

“Iyalah, saya tidak percaya sebab pada malam itu, rakan-rakan seperjuangan semuanya hebat. Terpilih dalam kalangan hebat pun sudah tidak disangka.

“Sudah jadi rezeki saya berpeluang mencuri hati juri. Apabila saya naik pentas, saya masih tidak sangka dalam banyak lagu, single Tolong Ingatkan Aku dipilih sebagai Juara Lagu,” katanya kepada BH Online.

Ana mula dikenali dengan single ciptaannya, Hujan Bunga di Kuala Lumpur yang kerap diputarkan di corong radio pada 2009. Membawa genre alternatif pop, Ana pantas mengumpan peminat dengan gaya bersahaja bermain gitar sambil menggayakan baju kurung atau kebaya setiap kali beraksi.

Berbekalkan album sulung berjudul Ketika Aku Kecil yang dilancarkan pada April 2010, Ana yang memuatkan enam lagu ciptaan sendiri dalam album berkenaan, pantas mendaki tangga populariti hingga kemuncaknya bersaing di pentas AJL 25.

Pada AJL 25, Ana meraih trofi Juara Lagu melalui single Tolong Ingatkan Aku, manakala naib juara disandang kumpulan Meet Uncle Hussain yang mendendangkan lagu Drama King penampilan bersama Black Hanafiah. Tempat ketiga dimenangi Hafiz melalui single balada Noktah Cinta.

AJL 25 turut menyaksikan Faizal Tahir memenangi kategori persembahan terbaik melalui lagu Hanyut, manakala Yuna yang dianggap antara finalis ‘favourite’, tampil dengan lagu ciptaannya, Cinta Sempurna, namun tidak beroleh kemenangan.

Akui Ana, antara detik paling mengesankan apabila lagu gubahannya dipuji penulis lirik tersohor, Datuk Habsah Hassan.

“Saya masih ingat, komposer Aidit Alfian sampaikan perkhabaran daripada Habsah bahawa beliau jatuh cinta dengan lirik Tolong Ingatkan Aku.

“Habsah tidak jelaskan apa yang membuatkan beliau jatuh cinta, namun beliau adalah penulis lirik disegani dan banyak menghasilkan lirik yang kita suka dan ingat sampai sekarang. Jadi, apabila beliau komen begitu, saya rasa sangat tersentuh. Mungkin hikmahnya hendak bakar semangat saya sebagai penulis lagu dan lirik yang masih baharu ketika itu.

“Sama seperti Habsah, saya akan hargai karya pencipta dan penulis lirik akan datang. Saya akan sampaikan rasa suka kepada mereka supaya kata-kata itu boleh bakar semangat,” katanya.

Ana berkata, single Tolong Ingatkan Aku kekal menjadi lagu wajib yang dipersembahkan setiap kali dirinya diundang ke pentas.

“Ini membuahkan rasa manis kerana orang masih ingatkan kita. Jadi, kalau ada peluang buat persembahan, saya akan luang masa dengan peminat yang menghargai single itu. Single Tolong Ingatkan Aku sudah jadi lagu wajib, jadi tidak mengapa nyanyi beratus-ratus kali pun sebab kita buat peminat gembira.

“Saya juga seronok menyanyikan lagu Kalau Berpacaran… Mesti jemput peminat menyanyi sama di pentas. Jadi, lebih bermakna momen itu,” katanya yang bekerjasama dengan penyanyi veteran, Suhaimi Meor Hassan dalam lagu Kalau Berpacaran.

Ditanya soal tekanan berkarya selepas meraih kejayaan di pentas AJL 25, Ana tidak menafikan perkara itu.

Namun, pemegang Sarjana Pendidikan Teknologi Instruksional di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ini memberitahu, disebabkan tidak memberi perhatian penuh kepada bidang muzik selepas melanjutkan pengajian, perlahan-lahan tekanan itu hilang.

“Masa awal-awal rasa tertekan, namun saya bersyukur saya dapat menyumbang minat kepada bidang lain. Walaupun menulis lagu menjadi suatu yang bermakna buat saya dari dahulu sampai sekarang, namun apabila saya tidak terkongkong dalam bidang muzik sahaja, saya tidaklah tertekan.

“Saya dapat masuk dan keluar (daripada dunia muzik) secara fleksibel. Jadi, saya dapat hargai apa yang saya buat. Boleh dikatakan, kadang-kadang, dalam setahun, tiada pun lagu dicipta. Kadang-kadang kita tidak terdorong untuk mencipta lagu, namun penulisan lagu tetap ada dalam diri.

“Tahun ini, saya sasarkan mencipta lebih banyak lagu. Apabila saya fleksibel (tidak terikat), saya bersemangat untuk sumbangkan lagu kepada penyanyi lain,” katanya.

Ana mengakui masih banyak impian sebagai pencipta lagu yang belum tercapai. Antaranya adalah bekerjasama dengan penulis lirik hebat.

“Saya mahu bekerjasama dengan lebih ramai lagi penulis antaranya Datuk M Nasir, Rozi Sang Dewi dan Aubrey Suwito,” katanya.

Namun, Ana tidak pernah mengharapkan hasil karyanya diiktiraf, sebaliknya apa yang dilakukan sekadar mewarnai dunia penulisan lagu dan memberi semangat kepada pengkarya lain.

Ana berkata, dia masih aktif mencipta lagu dan menulis lirik, biarpun ramai menganggap dirinya sudah tidak lagi berkarya.

“Habis pengajian di UIA, saya terima tawaran bekerja sebagai ‘adaptive learning designer’. Saya reka kursus industri berisiko tinggi. Namun, saya masih menulis lagu dan menjayakan ‘show’ kalau ada undangan.

“Saya juga terbuka kepada sesiapa yang mahu hasilkan lirik bersama saya dan menyanyikan lagu ciptaan saya,” katanya yang baru-baru ini melancarkan single berjudul Memilih Sendiri.

Ibu kepada dua cahaya mata berusia sembilan tahun dan enam tahun ini juga tidak menolak jika permata hatinya itu mahu menceburi bidang muzik. Ana mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Aznaim Abdullah pada 25 Februari 2012.

Mengenai penganjuran AJL, Ana menganggap program pencarian lagu terbaik itu sebagai platform terbaik mengangkat pencipta lagu dan penulis lirik.

“Kita ada banyak pertandingan nyanyian, namun pertandingan menulis lagu, hanya AJL,” katanya.

Ana menganggap kejayaan pada AJL 25 membantunya memahat nama sebagai pengkarya seni.

“Itu yang membuatkan saya fikir produksi AJL memainkan peranan penting dalam menghormati dan mengangkat penulis lagu dan penulis lirik.

“Ini adalah suatu usaha yang perlu diteruskan. Saya harap kita ada AJL hingga edisi ke-200 untuk menyokong industri penulisan lagu,” katanya.

Ana berharap usaha mengiktiraf pencipta dan penulis lirik terus dipertingkatkan.

“Usaha ini perlu beri galakan dan dikembangkan lagi. Apatah lagi, baru-baru ini, makin ramai yang sedar impak pencipta lagu dan penulis lirik dalam menaikkan seseorang penyanyi itu.

“Lagu-lagu sedap, tidak kiralah siapa yang menyanyi, genre dan tahun dilancarkan, karya itu terus didengari dan memberi makna.

“Itu adalah kekuatan dan kebolehan pencipta lagu dan penulis lirik yang tidak boleh dinafikan,” katanya. BH

Fenomena gadis gitar berbaju kurung di pentas AJL

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Fizz Fairuz dikecam teruk, Almy Nadia ucap selamat berjaya

Saya anak yang tidak diinginkan – Zainal Abidin

Suara wanita mengaji selepas hantar jenazah

Adegan panas di dalam bilik mandi, Shukri Yahaya mohon maaf

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker