Tak perlu PKPB di seluruh Selangor – Amirudin

Share

Kerajaan Negeri Selangor berpandangan ada beberapa daerah di negeri itu, tidak perlu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama 14 hari bermula esok, memandangkan situasi pandemik COVID-19 di lokasi terlibat masih terkawal.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pandangan mengenai perkara itu telah dihantar untuk dinilai oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), berikutan penguatkuasaan PKPB adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

“Saya tahu ada beberapa kawasan (penularan COVID-19 di Selangor) masih terkawal dan maklumat itu (diperoleh) berdasarkan mesyuarat bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), polis dan sebagainya.

“Saya tahu kes (COVID-19) berselerak, tapi kita ada alasan-alasan tertentu hasil saranan JKNS. Ia bukan pandangan saya yang cuba untuk berbeza (daripada kerajaan Persekutuan) dan saya harap ia dibincangkan dalam mesyuarat MKN,” katanya pada sidang media pelancaran ‘Hari-Hari National Community Basketball League’ di sini, hari ini.

Jelas beliau, penguatkuasaan PKPB di seluruh Selangor itu juga dilihat agak ‘kurang adil’, khususnya kepada penduduk di kawasan Sabak Bernam, Tanjong Karang dan Kuala Selangor, memandangkan jumlah kes jangkitan COVID-19 di situ adalah rendah.

Amirudin berkata walaupun aspek kesihatan sentiasa menjadi keutamaan, namun kadar kekurangan pendapatan yang agak tinggi di Sabak Bernam dan Kuala Selangor turut harus diberi perhatian, sekiranya PKPB dikuatkuasakan.

“Jika kerajaan Persekutuan memutuskan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tetapi menutup sekolah, pusat jagaan kanak-kanak dan taska, pastinya ramai pekerja terpaksa mengambil cuti untuk menjaga anak masing-masing.

“Ia (menguatkuasakan PKPB) mempunyai impak yang besar, namun sekiranya mereka (kerajaan Persekutuan) merasakan tidak perlu melakukan perubahan, okay kita buat. Kerajaan negeri hanya memberi cadangan,” katanya.

Mengulas mengenai ujian saringan bersasar COVID-19 oleh kerajaan negeri, Amirudin berkata buat masa ini, ia akan dilakukan di kawasan Petaling Jaya, selepas ada jemaah di Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang dikesan positif wabak itu.

“Masjid itu dihadiri lebih seribu jemaah. Walaupun Jabatan Agama Islam Selangor telah meminta jemaah membuat saringan, namun kita tidak dapat mengesan mereka. Disebabkan itu, kita akan membuat ujian saringan di dalam masjid bagi memudahkan jemaah datang dan tiada yang tertinggal,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin memberitahu setakat ini, sebanyak 733 individu yang pulang dari Sabah pada 20 hingga 26 Sept telah menjalani ujian saringan bersasar itu, dan lima daripadanya tidak bergejala tetapi dikesan positif COVID-19. BERNAMA

Kumpulan mahu guling Amirudin dakwa sudah ada cukup sokongan

Leave a Reply