Lelaki dakwa dengar ‘suara malaikat’ sebelum bunuh anak

Ada kemungkinan tindakan seorang lelaki yang membunuh anaknya di Kampung Sungai Dua di Bachok, Kelantan pagi semalam didorong oleh pengaruh ajaran sesat.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat, berkata kemungkinan itu dilihat selepas siasatan meneliti cara mangsa – yang baru berusia 8 bulan – dibunuh dan mayatnya dilumuri garam.

Turut diteliti, katanya, ialah keadaan halusinasi dialami suspek.

Menurut Shafien lagi suspek yang berusia 40 tahun itu tidak bercakap dengan sesiapa sebaliknya hanya berzikir dan memaklumkan dia mendengar suara malaikat sebelum membunuh anaknya.



“Selain suspek, polis turut menahan isterinya yang berusia 32 tahun untuk membantu siasatan,” katanya.

Bagaimanapun menurut Shafien wanita itu yang juga merupakan ibu kandung mangsa sedang dirawat di hospital kerana masih dalam keadaan trauma.

“Ujian air kencing yang dilakukan terhadap pasangan suami isteri ini juga negatif,” katanya.

Shafien ditemui media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.



Semalam Malaysiakini melaporkan seorang bayi lelaki berusia lapan bulan ditemui mati dan dibungkus dalam karung guni, manakala badan mangsa dilumur garam selepas dipercayai dibunuh bapa kandungnya.

Kematian bayi berkenaan dipercayai dilakukan suspek yang mengalami masalah gangguan mental.

Dalam perkembangan sama Shafien berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan polis masih menunggu keputusan laporan kimia sama ada suspek mempunyai masalah mental atau tidak.

Katanya, laporan bedah siasat yang selesai jam 5 pagi tadi mendapati punca kematian bayi berkenaan disebabkan berlaku hentakan pada bahagian kepala.



“Kecederaan itu berkemungkinan bayi itu jatuh atau dipukul dengan objek tertentu,” katanya.

Sementara itu, proses mendapatkan kebenaran menahan reman suspek di Mahkamah Majistret Bachok berdepan sedikit kesukaran apabila dia tidak memberi kerjasama yang baik.

Suspek dikatakan enggan keluar dari kereta dan bertindak membaca beberapa surah al-Quran dengan alasan untuk berdoa.

Selepas menunggu selama kira-kira 10 minit, anggota polis terpaksa mengusung suspek masuk ke mahkamah dan majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor membenarkan lelaki terbabit ditahan seminggu mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.



Bunuh anak : Bapa melawan dan terpaksa diangkat polis masuk mahkamah

Bayi 8 bulan dibunuh bapa, mayat dimasukkan dalam guni



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker