Kerajaan Baru Selepas Anwar Mengadap YDPA?

oleh Aziz Kaprawi

1. Ramai yang tertanya-tanya adakah benar Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar mempunyai sebahagian besar Ahli Parlimen yang menyokongnya untuk membentuk kerajaan baru.

2. Walaupun terdapat sebilangan besar Ahli Parlimen Barisan Nasional telah menafikan sokongan mereka, namun Anwar Ibrahim tetap berkobar-kobar ke Istana Negara.

3. Apa sebenarnya permainan Anwar Ibrahim?

4. Mungkin Anwar hendak membuktikan kepada YDPA bahawa Tan Sri Muhyiddin sudah tiada lagi majoriti dalam Parlimen. Sekiranya ini betul saya pasti Yang Di-Pertuan Agong akan mencari kaedah penyelesaian secara bijaksana & holistik dengan kuasa untuk melantik Perdana Menteri yang terletak di tangan baginda melalui Perlembagaan Persekutuan Perkara 43 (2) (c). Tidak semestinya PKR Anwar dilantik jadi PM. Mungkin tokoh lain yang lebih berkarisma dari parti yang lebih berkredibiliti dilantik ke jawatan PM.

5. Jika dakwaan Anwar itu benar, saya yakin YDPA akan menggunakan kebijaksanaan baginda untuk menyelesaikan secara tuntas permasalahan kerajaan lemah dengan majoriti tipis serta diragui untuk membentuk kerajaan yang lebih stabil berbanding Kerajaan Perikatan Nasional. Ia turut didorong oleh terhakisnya kepercayaan rakyat terhadap cara pengendalian krisis COVID19 yang semakin parah oleh YAB Perdana Menteri.

6. Kemungkinan kebijaksanaan YDPA mengendalikan isu kemelut politik ini akan memperlihatkan baginda merangkumkan sebahagian besar pelbagai parti dalam sebuah kerajaan ala-Perpaduan dengan memilih seorang Ahli Parlimen yang berpengalaman lama & tidak ada kontroversi serta boleh mendapat sokongan terbesar Ahli Dewan Rakyat dan boleh diterima baik oleh rakyat.

7. Dalam menghadapi ancaman COVID19 yang semakin menular ini, amat penting negara ini mempunyai kestabilan politik bagi merencanakan agenda revitalisasi ekonomi negara.

8. Kerajaan Ala-Perpaduan ini mempunyai keupayaan untuk mententeramkan isu kemelut politik dan memberi keyakinan dan rasa selamat kepada rakyat terhadap usaha kerajaan menyelesaikan krisis COVID19.

10. Sekiranya berlaku kerajaan ala-perpaduan ini ianya akan sedikit sebanyak mententeramkan ahli-ahli UMNO kerana Perdana Menteri Malaysia bukan lagi Tan Sri Muhyiddin Yassin dari PPBM yang sebelum ini mencetuskan rasa tidak senang kerana apa yang berlaku di PRN Sabah tempoh hari.

11. Saya amat yakin bahawa sekiranya PPBM bukan lagi memegang kerusi Perdana Menteri, ahli-ahli PPBM dan pemimpinnya mungkin akan kembali ke pangkal jalan dan pulang untuk bersama UMNO.

12. Muafakat Nasional akan bertambah kukuh kerana PAS tidak lagi akan bergantung harap kepada PPBM.

Wallahua’alam

Aziz Kaprawi

YDPA MENYELAMATKAN KEADAAN, TUN DR MAHATHIR BUAT MASALAH LAGI

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker