Doalah ketika senang dan susah

oleh Mohd Shahrizal Nasir

Setiap orang tidak terlepas daripada ujian kehidupan. Memang lumrah kehidupan ini tidak selalunya diulit kegembiraan dan kesenangan. Adakalanya kesedihan dan kesusahan singgah dalam diari kehidupan insan. Bukti jelasnya sekarang ini kita di Malaysia masih berada dalam keadaan tidak menentu tatkala wabak Covid-19 masih menyerang mangsanya. Terkini bilangan mangsa yang didapati positif dengan Covid-19 meningkat kembali berbanding beberapa bulan yang lalu.

Kini setiap orang kembali dilanda kerisauan khuatir diri dan orang tersayang dijangkiti wabak Covid-19. Ada orang yang terpaksa melakukan saringan kesihatan kerana didapati mempunyai perkaitan dengan mangsa yang positif Covid-19. Ada premis yang terpaksa ditutup beberapa hari bagi proses sanitasi disebabkan ada kakitangan yang didapati positif. Tidak kurang juga ada yang mula berasa sangsi untuk berurusan dengan pihak dikaitkan dengan Covid-19
dengan alasan ingin berjaga-jaga.

Begitulah keadaan semasa disebabkan wabak Covid-19 yang masih belum berkesudahan. Manusia mula diselubungi kebimbangan kerana wabak tersebut tidak mengenal kedudukan mahupun latar belakang manusia. Sesiapa sahaja boleh dijangkiti wabak Covid-19 sekiranya gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Lumrah manusia apabila mula berasa bimbang, hati jadi tidak tenteram dan akhirnya berusaha untuk kembali kepada Tuhan. Cuba kita lakukan muhasabah diri tentang tindak-tanduk diri sendiri sepanjang negara dilanda Covid-19. Jika semasa awal berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari sehingga berlarutan mengambil masa berbulan-bulan duduk di rumah, kita semua menjadi dekat dengan Allah SWT.

Pelaksanaan solat berjemaah menjadi rutin biasa di dalam rumah. Masa diperuntukkan untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran sementalah masing-masing berada dalam bulan Ramadan ketika itu. Ketua keluarga membiasakan diri menjadi imam dalam pelaksanaan solat berjemaah. Malah, berpeluang pula menjadi khatib selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri. Kita dekat kepada Allah SWT tatkala berada dalam kesusahan.

Bagaimana pula setelah PKP mula dilonggarkan menjadi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kemudian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)? Adakah kita masih istiqamah melaksanakan amal ibadah yang selama beberapa bulan dihidupkan dalam rumah masing-masing? Ataupun sedikit demi sedikit menjadi lupa kepada Allah yang mengeluarkan kita daripada kesempitan hidup?

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang yang melampau apa yang mereka lakukan.” (Surah Yunus, ayat 12)

Peringatan Allah SWT yang dirakamkan dalam al-Quran tentang tabiat buruk manusia itu perlu dijadikan renungan. Usah jadi hamba Allah yang hanya mencari-Nya tatkala ditimpa kesusahan, sedangkan apabila kesusahan itu hilang, perangai lama kembali dengan melupakan Allah SWT.

Sebenarnya orang yang melupakan Allah adalah orang yang melupakan kebaikan untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya ingatan seorang hamba kepada Allah tidak menambah atau mengurangkan kehebatan dan keesaan-Nya. Manusialah yang akan rugi apabila dirinya melupakan Allah SWT. Perbuatan melupakan Allah membawa kesan buruk kepada dirinya sendiri yang melepaskan peluang untuk mendapat pahala daripada amal ibadah yang dilakukannya kerana Allah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang yang derhaka.” (Surah al-Hasyr, ayat 19)

Kini kita kembali merasai kesusahan apabila angka mangsa yang didapati positif Covid-19 meningkat dari sehari ke sehari. Ada beberapa tempat yang terpaksa patuh kepada perintah pelaksanaan PKPB. Sedarkah kita bahawa kali ini tangan perlu diangkat bagi memohon pertolongan daripada Allah SWT? Bukan soal kita ditegah daripada berdoa, malah hakikatnya Allah membuka ruang untuk kita memohon pertolongan hanya kepada-Nya. Namun, yang penting untuk diinsafi ialah keperluan untuk kita terus mengingati Allah pada waktu senang, bukan ketika berlaku kesusahan sahaja.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ingatlah Allah, maka engkau akan mendapati-Nya di hadapanmu. Kenalilah Allah ketika senang, maka Dia akan mengenalmu ketika susah. Ketahuilah bahwa apa yang luput daripadamu tidak akan menimpamu dan apa yang menimpamu tidak akan luput daripadamu. Ketahuilah bahawa pertolongan itu bersama kesabaran, kelapangan bersama kesempitan dan bahawa bersama kesulitan itu ada kemudahan.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Allah SWT sentiasa mengasihi hamba-Nya selagi mana kebergantungan sentiasa disandarkan kepada-Nya. Peringatan yang diberikan oleh Allah semata-mata untuk menyedarkan hamba-Nya yang sama sekali tidak dapat melepaskan diri daripada sebarang kesempitan hidup melaikan dengan keizinan-Nya sahaja. Kita dilarang daripada menjadi hamba yang hanya mengingati Allah ketika susah dan melupai-Nya ketika senang.

Doa perlu dipanjatkan kepada Allah SWT sewaktu susah dan senang kerana ia satu bentuk pengakuan bahawa manusia sentiasa bergantung kepada-Nya. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepada-Nya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripada-Nya, lupalah ia akan segala bahaya yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan ia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah. Katakanlah (kepadanya): Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau daripada penduduk neraka.” (Surah az-Zumar, ayat 8)

Menyedari perbuatan diri yang melupakan Allah ketika senang, sewajarnya kita memperbanyakkan memohon keampunan kepada-Nya. Orang yang memohon keampunan daripada Allah SWT merupakan insan akur terhadap keterlanjuran diri yang sepatutnya tidak diulangi lagi.

Sedangkan Rasulullah SAW yang maksum tiada sebarang dosa masih berusaha memperbanyakkan istighfar sebagai tanda memohon keampunan daripada-Nya. Bagaimana pula dengan kita yang kini masih diuji dengan wabak Covid-19 disebabkan kecuaian diri manusia sendiri?

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Demi Allah, sesungguhnya aku (Rasulullah) beristighfar kepada Allah dan memohon keampunan kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Mudah-mudahan dengan memperbanyakkan istighfar kepada Allah SWT, maka ujian wabak Covid-19 ini akan segera berlalu. Di samping itu, kita menjadi hamba yang sentiasa dekat kepada-Nya kerana mengingati-Nya bukan sahaja ketika susah malah ketika senang juga.

Penulis merupakan Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

DAP ‘tidak senang duduk’ lihat Melayu, Islam bersatu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker