Anwar mohon Agong sahkan senarai majoriti ahli Parlimen

Share

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon Yang di-Pertuan Agong meneliti senarai lebih 120 ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada beliau sebelum memperkenankan permohonan pembentukan kerajaan baharu bagi menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Anwar menjelaskan, beliau sudah mengemukakan dokumen sahih termasuk surat akuan bersumpah (SD) dan dokumen pengesahan ketua-ketua parti bagi menunjukkan bukti sokongan ahli Parlimen yang dinyatakan.

“Sebagai hamba ALLAH SWT yang insaf dengan segala ujian yang saya lalui, saya dengan rendah diri memanjatkan setinggi kesyukuran kerana memberi kekuatan, kesabaran dan iltizam untuk meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara tercinta ini.

“Saya pohon semua pihak bersabar beri ruang kepada Yang di-Pertuan Agong menjalankan tanggungjawab mengikut lunas Perlembagaan dan budi bicara untuk menelaah dokumen..dan (dalam) satu dua hari ini memanggil ketua parti bagi mengesahkan dan mendapat input dan pandangan sebaiknya.

“Oleh itu hari ini bukan soal kemenangan sesiapa atau kekalahan sesiapa tapi memohon supaya kita dapat tegakkan satu negara maju dan adil..menangani malapetaka Covid-19 dan memacukan pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan,”katanya dalam sidang media khas hari ini.

Tuduh Kerajaan PN Tidak Sah? Itu Satu Tindakan Mencabar Kuasa Yang di-Pertuan Agong – Ismail Sabri

Anwar pada 23 September lalu menyatakan keyakinan untuk membentuk kerajaan ‘Islam bumiputera’ setelah mendakwa mempunyai majoriti dua pertiga daripada ahli-ahli parlimen.

Menyentuh mengenai ‘kerajaan Islam bumiputera’, Anwar menegaskan hak semua warganegara tetap akan terpelihara walaupun kerajaan yang beliau pimpin kelak mempunyai majoriti Muslim dan bumiputera.

Beliau juga mengesahkan tiada sebarang perkara berkaitan perlaksanaan Pilihanraya Umum (PRU) dibangkitkan ketika pertemuan dengan baginda Yang di-Pertuan Agong.

Ditanya adakah sokongan 120 ahli Parlimen itu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan ahli Parlimen yang menyokong Dr Mahathir, beliau tidak menolak sebarang sokongan yang diberikan oleh mana-mana pihak.

Menjawab pertanyaan media, adakah pertemuan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang turut menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini termasuk sebahagian daripada sokongan terhadap beliau, Anwar berkata, ruang harus diberikan kepada semua pihak.

“Saya sebut di sini ruang akan diberikan kepada semua hati,” katanya.

Pagi tadi Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mengemukakan dokumen lengkap sokongan majoriti ahli Parlimen kepada beliau seperti yang didakwa ketika sidang akhbar pada 23 September lalu.

Siapa Perdana Menteri Malaysia minggu hadapan?

Leave a Reply