Siapsiaga KKM di Sabah pada tahap optimum – Adham

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus mempertingkatkan kapasiti perkhidmatan dalam usaha kesiapsiagaan menghadapi peningkatan kes-kes dan pengendalian kes Covid-19 di Sabah adalah pada tahap optimum.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sebagai usaha memastikan kesiapsiagaan di semua peringkat, KKM turut menambah satu lagi hospital bagi merawat pesakit pandemik di negeri itu iaitu Hospital Kota Marudu.

Berikutan itu jelas beliau, KKM kini mempunyai tujuh hospital untuk merawat kes Covid-19 bagi kategori tiga hingga lima yang memerlukan dan seterusnya enam lagi buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Sehingga 11 Oktober 2020 pukul 8.00 pagi, terdapat 4,834 katil disediakan untuk merawat pesakit Covid-19 iaitu di tujuh buah hospital Covid-19 dan 16 buah di PKRC di Sabah.

“Dari jumlah tersebut, kadar penggunaan katil di tujuh buah hospital dengan kapasiti 958 katil adalah sebanyak 66 peratus, manakala bagi katil di PKRC adalah sebanyak 22 peratus daripada jumlah 3876 katil.

“Secara keseluruhan 30 peratus katil telah digunakan untuk merawat pesakit Covid19. Kes-kes yang tidak bergejala atau gejala ringan akan ditempatkan di PKRC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adham menambah, dalam usaha meningkatkan bilangan katil rawatan Covid-19 di fasiliti KKM menerusi kerjasama awam-swasta, pihaknya akan menjalankan penyumberluaran (outsourcing) perkhidmatan kepada hospital-hospital
swasta di Sabah.

Misalnya jelas beliau, KKM akan juga melaksanakan penyumbeluaran ke beberapa hospital swasta di Sabah seperti Gleneagles Hospital Kota Kinabalu, KPJ Sabah Specialist Hospital, Jesselton Medical Centre dan sebagainya.

Jelas beliau, bagi meningkatkan kapasiti rawatan pesakit di Hospital Tawau, kerajaan dengan kerjasama KKM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang berusaha untuk menyediakan Hospital Medan berkapasiti 100 katil dengan bantuan pegawai dan anggota perubatan tentera.

“Seterusnya, bagi memenuhi keperluan tenaga kerja manusia, mobilisasi anggota kesihatan dari seluruh negara telah dan sedang dilaksanakan. Sehingga 11 Oktober 2020 seramai 483 anggota kesihatan telah dimobilisasikan.

“Ini merangkumi Pakar Perubatan, Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat, Juruteknologi Makmal Perubatan, Juru X-ray, Pegawai Sains Mikrobiologi, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Pembantu Kesihatan Awam untuk membantu perkhidmatan hospital dan kesihatan awam di Sabah. Kerjasama dengan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta sedang diusahakan bagi membantu tenaga kerja di Sabah.

“Dari aspek kapasiti diagnosis, Sabah kini mempunyai tiga buah makmal dengan kapasiti ujian Covid-19 sebanyak 2,500 sehari. Bagi menangani peningkatan beban makmal di Sabah, beberapa makmal di semenanjung turut mengendalikan ujian tersebut.

“Sampel akan di hantar ke Semenanjung menerusi penerbangan ikhsan melalui kerjasama KKM dengan ATM,” katanya.

Adham turut memberitahu, peruntukan tambahan telah pun disalurkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah yang kini sedang melaksanakan perolehan bagi keperluan makmal, alat pelindungan diri (PPE) dan alat-alat perubatan yang lain.

Katanya, KKM juga sedang berusaha menyediakan sebuah makmal modular dan makmal molekular di Hospital Tawau bagi meningkatkan kapasiti ujian Covid-19 di Sabah.

Menurut beliau, kesihatan yang bertugas di semua fasiliti kesihatan termasuk pemantauan berterusan keperluan dan stok PPE di seluruh negara termasuk negeri
Sabah.

“Kerajaan juga telah menyalurkan peruntukan secukupnya untuk memastikan perolehan darurat PPE di peringkat JKN Sabah. Selain itu, bekalan tambahan daripada JKN dan hospital yang mempunyai lebihan kuantiti PPE, juga telah dihantar ke fasiliti yang memerlukannya dengan kerjasama ATM.

“Dari segi keperluan alat bantuan pernafasan (ventilator), Sabah mempunyai 180 unit ventilator dengan kadar penggunaan semasa sebanyak 38 peratus.

“Bilangan ventilator telah meningkat daripada 66 unit pada fasa awal kesiapsiagaan kepada 180 unit iaitu peningkatan sebanyak 63 peratus dan KKM dalam proses penghantaran 14 unit ventilator tambahan untuk Sabah,” katanya. MG

Setiap Rakyat Kini Adalah Petugas Barisan Hadapan – Dr Adham Baba

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker