Sejuta pelajar tidak ke sekolah

Share

SHAH ALAM – Sekitar satu juta pelajar yang belajar di 1,754 buah sekolah di beberapa negeri di Malaysia tidak dapat menjalani sesi persekolahan seperti biasa selepas kes pandemik koronavirus (Covid-19) meningkat semula.

Penutupan sekolah mulai 10 Oktober sehingga 25 Oktober itu terpaksa dilakukan selepas kes-kes Covid-19 di negeri itu masih menunjukkan peningkatan.

Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut mengambil keputusan yang sama untuk menutup sebanyak 298 buah sekolah di seluruh daerah Petaling di Selangor mulai 12 Oktober hingga 25 Oktober.

Itu menjadikan jumlah keseluruhan sekolah yang telah ditutup setakat ini ialah sebanyak 440 buah yang turut melibatkan kawasan Klang. Sekolah-sekolah di Putrajaya juga ditutup dengan anggaran keseluruhan pelajar terlibat seramai 2,978 orang.

Sekolah yang telah ditutup di Putrajaya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Precint 8 (1) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Precint 8 (1).

Sementara itu di Kedah, terdapat empat buah sekolah ditutup bermula semalam sehingga 17 Oktober ini.Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Datuk Najmi Ahmad berkata, ia membabitkan dua buah sekolah masing-masing di daerah Baling dan Pokok Sena.

Menurutnya, sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongor, SMK Baling, SMK Bukit Payong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pak Kiau.

“Penutupan sekolah itu dimaklumkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dan surat pemakluman diserahkan kepada pentadbiran sekolah masing-masing hari ini (semalam),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

SMK Bukit Payong adalah antara empat buah sekolah yang ditutup di daerah Baling dan Pokok Sena, Kedah bermula semalam sehingga 17 Oktober.
SMK Bukit Payong adalah antara empat buah sekolah yang ditutup di daerah Baling dan Pokok Sena, Kedah bermula semalam sehingga 17 Oktober.

Najmi berkata, semua pelajar, guru dan anggota kumpulan pelaksana menjalani kuarantin di rumah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Difahamkan penutupan itu dibuat susulan terdapat guru dan murid disahkan positif Covid-19 oleh Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya.

Di Perak, sebanyak enam buah sekolah di Taiping terpaksa ditutup iaitu SMK King Edward VII, SMK (P) Treacher Methodist, SMK Bukit Jana, SK Taman Jana, SK Convent Kota dan SK Ulu Mengkuang.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, sekolah berkenaan ditutup selama tujuh hari bermula hari ini susulan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan warga sekolah itu.

Di Johor, sebanyak dua sekolah di Masai, Pasir Gudang iaitu SK Masai (2) dan Sekolah Agama As-Syakirin ditutup.

Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shaharuddin Saari mengesahkan penutupan sekolah berkenaan.

Penutupan sekolah di Terengganu pula melibatkan empat buah sekolah di Kuala Nerus dan Dungun iaitu SK Padang Kemunting, SK Kompleks Seberang Takir, SMK Kompleks Seberang Takir dan SMA Sultan Ismail.

Tiada sebarang angka diberikan untuk bilangan pelajar terjejas di Kedah, Terengganu, Johor dan Perak.-SH

 

Teacher At SMK Taman Sea In PJ Tests Positive For COVID-19

Leave a Reply