Lompat parti akan terus berlaku jika tiada mekanisme kukuh yang menghalang

Penganalisis politik berkata, budaya lompat parti tidak akan berakhir sekiranya tiada mekanisme atau perundangan kukuh untuk menghalangnya.

Nadzri Mohamed Noor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, keadaan politik hari ini menyaksikan mereka yang tidak setia atau melompat parti lebih banyak mendapat “habuan” berbanding yang setia.

”Bagaimanapun budaya ini (lompat parti) berlaku kerana wujudnya keperluan, termasuk kerana dasar parti. Contohnya seseorang daripada parti A, tetapi kerajaan bertukar kepada parti B, dan oleh sebab dasar parti dan kepentingan penduduk di kawasannya dia harus bertukar kepada parti B.

”Selain itu, tekanan seperti keluarkan fail LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagainya boleh menyebabkan kedudukan seseorang (wakil rakyat) tercabar.

”Ini bukan saja berlaku pada zaman BN (Barisan Nasional), tetapi juga zaman PH (Pakatan Harapan) dan PN (Perikatan Nasional).

“Jadi motivasi untuk melompat itu tinggi, ia akan terus berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum analisis pilihan raya negeri Sabah dan impaknya ke atas pilihan raya umum ke-15 anjuran Institut Kajian Etnik (Kita-UKM) dengan kerjasama Institut Kajian Dasar (IKD) menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, sekiranya undang-undang untuk menghukum mereka yang melompat parti tidak dapat diwujudkan, maka mekanisme tertentu, seperti kerusi kekal milik parti selepas wakil rakyatnya melompat perlu diwujudkan.

“Kita mungkin tidak boleh menghukum mereka yang melompat parti, tetapi dengan mekanisme ini, jika melompat sekali pun, kerusi tetap dimiliki oleh parti dan ada wakil parti di sesuatu kawasan itu.

”Tidak dinafikan, sekiranya sezseorang berada di pihak pembangkang, agak susah untuk mendapat peruntukan bagi kawasan yag diwakili, tetapi seperti saya katakan tadi, satu perundangan atau mekanisme perlu dibina bagi mengatasi isu itu,” katanya.

Seorang lagi penganalisis, Kartini Aboo Talib Khalid dari UKM berkata, budaya lompat parti sudah lama berlaku di negara ini dan menyifatkannya sesuatu yang sukar untuk dibendung.

”Ada juga usul yang mahu mereka yang melompat parti dikenakan denda, namun ia mungkin berkesan dan mungkin juga tidak.

”Dengan ketiadaan peruntukan perlembagaan atau undang-undang yang menghalang lompat parti, ia masih boleh berlaku, tetapi sekiranya ia mewujudkan kestabilan, kenapa tidak (lompat parti)? Sekarang ini ia bukan soal prinsip, tetapi soal kelangsungan,” katanya. FMT

Mahathir Sekali Lagi Mencabul Sistem Perundangan Negara

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker