COVID-19: Perintah berkurung harus jadi pilihan terakhir – WHO

Share

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menggalakkan kerajaan-kerajaan menguatkuasakan perintah berkurung di seluruh negara sebagai mekanisme utama mengekang penularan COVID-19.

Utusan khas COVID-19 daripada WHO, Dr David Nabarro dalam temubual bersama The Spectator memberitahu, arahan sekatan besar-besaran sebegitu harus dilihat sebagai pilihan terakhir.

“Kami di WHO tidak menggalakkan perintah berkurung atau lockdown sebagai pilihan utama untuk mengawal virus ini,” katanya.

“Kami percaya lockdown hanya perlu untuk tujuan menyusun semula dan mengaturkan sumber negara serta melindungi petugas kesihatan yang berpenat lelah.

“Namun secara keseluruhan, kami kurang cenderung untuk melaksanakannya,” kata Nabarro.

WHO menganggarkan sebanyak 10 peratus daripada seluruh penduduk dunia telah dijangkiti COVID-19.

“Masih terdapat 90 peratus penduduk bumi yang diancam dengan jangkitan itu.
“Justeru, kita perlu belajar untuk hidup bersama dengan virus ini dengan cara yang tidak memaksakan penutupan ekonomi yang kerap.

“Dan dalam masa yang sama, tidak melibatkan kadar kematian dan kesengsaraan yang tinggi.”
Tegas Nabarro, kawalan ketat boleh mendatangkan kesan buruk, terutama kepada ekonomi dunia.

“Perintah berkurung ada satu impak yang anda tidak boleh pandang remeh, iaitu menjadikan orang miskin jauh lebih miskin daripada yang seadanya,” ujar beliau.

Beliau turut berpandangan bahawa perintah berkurung akan menjejaskan negara yang bergantung kepada sektor pelancongan.

“Anda boleh lihat apa yang terjadi kepada industri pelancongan di Caribbean atau Pasifik misalnya, kerana orang tidak bercuti,” kata Nabarro.

“Lihat apa yang berlaku kepada pekebun kecil di serata dunia. Lihat apa yang berlaku kepada tahap kemiskinan.

“Kita menjangkakan kemiskinan dunia melipat dua kali ganda tahun depan. Kita juga mungkin menyaksikan malnutrisi kanak-kanak berlipat ganda.”

Agensi itu sebelum ini menyarankan negara sedunia agar tidak melaksanakan perintah berkurung serta-merta apabila dilanda gelombang pertama COVID-19.

“Perkara terakhir yang diperlukan negara adalah sekolah dan sektor perniagaan dibenarkan beroperasi, namun ditutup semula akibat peningkatan semula kes,” kata Ketua Pengarah Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Sebaliknya, Tedros menggesa supaya kerajaan mengambil langkah lain seperti menjalankan ujian saringan dan pengesanan kontak secara besar-besaran. Awani

Tiada keperluan perintah berkurung di seluruh negara, kata Ismail Sabri

Leave a Reply