Malaysia dijangka peroleh vaksin pertengahan tahun depan

Malaysia dijangka memperoleh bekalan vaksin COVID-19 pada pertengahan tahun depan sekali gus berupaya membantu negara membendung penularan wabak itu.

Unjuran itu berdasarkan data yang ada setakat ini menunjukkan 11 jenis vaksin kini sudah berada pada peringkat ujian klinikal fasa ketiga.

Empat daripada vaksin berkenaan adalah dari China, enam dari negara barat termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Australia serta satu dari Russia.

Pengerusi Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM), Datuk Ahmad Zaki Zahid, berkata pihaknya sudah mula meninjau pembangunan vaksin COVID-19 sejak Mac lalu dan hingga kini ada lebih 170 vaksin yang sedang dibangunkan di seluruh dunia.



“Sebanyak 11 daripada jumlah berkenaan kini berada di peringkat klinikal fasa ketiga dan ini bermaksud 11 vaksin ini berjaya melepasi tahap satu serta dua dengan amat memberangsangkan.

“Sebab itu saya optimis bahawa apabila vaksin ini diluluskan di negara pengeluar, Malaysia dijangka memperoleh bekalan pada pertengahan tahun depan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Ditanya mengenai kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin yang mencadangkan supaya vaksin itu diagihkan secara percuma, Ahmad Zaki berkata, ia boleh dilaksanakan.

Jelasnya, penyertaan Malaysia dalam pelan peruntukan vaksin COVID-19 global (COVAX) selain kerjasama strategik bersama negara lain dan rundingan melalui syarikat farmaseutikal dapat membantu Malaysia mendapatkan bekalan vaksin terbabit.



“Menteri MOSTI pun sudah mengeluarkan kenyataan akan mengesyorkan kepada Kabinet supaya vaksin ini kelak diberikan secara percuma. Saya rasa kita boleh melakukannya,” katanya.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, sebelum ini memaklumkan vaksin COVID-19 dijangka sedia untuk digunakan pada hujung tahun ini.

Beliau turut menyeru supaya semua pemimpin dunia memastikan pengedaran vaksin dilakukan secara saksama. BH

COVID-19: Bukan semua boleh selesai dengan vaksin – Pakar



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker